Al-Quran bentuk peribadi mulia, berdisiplin, bertanggungjawab

1 Sep 2026 - 7:04am

Oleh : Hajah Siti Zuraihah Awang Haji Sulaiman

Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said

KIARONG, Isnin, 31 Ogos. – Universiti Teknologi Brunei (UTB) hari ini mengadakan Majlis Khatam Al-Quran bagi para pelajarnya sempena Majlis Konvokesyen UTB Ke-14 Tahun 2026, bertempat di Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, di sini.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis berkenaan, Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid, merangkap Timbalan Pengerusi Majlis UTB.

Turut hadir, Naib Canselor UTB, Profesor Madya Pengiran Dr. Mohamad Iskandar bin Pengiran Haji Petra, serta pegawai-pegawai kanan, tenaga akademik dan pentadbiran UTB, ahli-ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), ibu bapa dan penjaga serta para jemputan.

Majlis Khatam Al-Quran berkenaan disertai oleh seramai 158 pelajar, terdiri daripada 61 pelajar lelaki dan 97 pelajar perempuan yang telah berjaya menyempurnakan bacaan Al-Quran secara tartil mengikut program yang ditetapkan.

Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh tetamu kehormat majlis, diikuti dengan bacaan Surah Ad-Dhuha hingga Surah Al-Masad.

Diikuti dengan bacaan Takhtim dan seterusnya Doa Khatam Al-Quran dipimpin oleh Awangku Ahmad Amsyar Zaki bin Pengiran Abdul Razak.

Majlis diserikan lagi dengan Dikir Marhaban, diikuti dengan penyampaian sijil khatam Al-Quran kepada para pelajar yang menyertai majlis, sebelum diakhiri dengan Doa Selamat.

Majlis berkenaan antara lain bertujuan untuk menekankan peranan Al-Quran dalam membentuk perkembangan kerohanian dan akhlak para pelajar, di samping memperkukuh keimanan serta membimbing mereka dalam membezakan antara perkara yang baik dan buruk.

Selain itu, penghayatan terhadap ajaran Al-Quran juga diharap dapat membantu membentuk peribadi yang mulia, berdisiplin dan bertanggungjawab dalam kalangan para pelajar.

Majlis Khatam Al-Quran berkenaan merupakan salah satu acara yang dianjurkan bersempena Majlis Konvokesyen UTB Ke-14 Tahun 2026, sekali gus mencerminkan komitmen UTB dalam mendukung pembangunan pelajar secara holistik, dengan mengimbangi kecemerlangan akademik bersama pengukuhan nilai-nilai kerohanian dan akhlak.

Pihak UTB turut merakamkan penghargaan kepada tetamu kehormat majlis, jawatankuasa penganjur, warga UTB, MPP, ibu bapa, penjaga serta semua pihak yang telah memberikan kerjasama dan sumbangan dalam menjayakan majlis berkenaan.