Siaran Akhbar : Kementerian Pertahanan
BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 22 September. - Kementerian Pertahanan ingin memaklumkan kepada orang ramai bahawa Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) akan mengadakan eksesais tentera yang dinamakan 'Eksesais HIKMAT BERSATU VII/2026' (Eks HB VII/2026) bermula daripada 28 September hingga 7 Oktober 2026.
Eksesais ini akan melibatkan kawasan-kawasan perairan, pendalaman, perumahan dan komersial serta jalan-jalan raya utama di beberapa buah tempat di Daerah Brunei Muara, Belait, Tutong dan Temburong.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak berasa cemas dengan peningkatan pergerakan anggota-anggota keselamatan atau pasukan beruniform, termasuk konvoi kenderaan darat, pesawat udara dan pengangkutan laut serta pengunaan bahan-bahan letupan dan piroteknik sepanjang tempoh eksesais tersebut.
Orang ramai juga dilarang keras untuk menghampiri, memasuki atau berada di kawasan eksesais bagi mengelakkan sebarang insiden yang tidak diingini serta bagi memastikan keselamatan awam sentiasa terpelihara.
Kementerian Pertahanan turut menegaskan agar tiada sebarang gambar ataupun rakaman video berkaitan eksesais ini diambil atau disebarkan di mana-mana platform media sosial bagi memelihara kerahsiaan serta integriti perlaksanaan eksesais berkenaan.
Sebarang penyebaran maklumat yang tidak sahih adalah merupakan satu kesalahan di bawah Bab 34, Akta Ketenteraman Awam, Penggal 148 - Penyebaran Maklumat Palsu.
Kementerian Pertahanan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih atas kerjasama orang ramai dalam menjayakan perlaksanaan eksesais ini.