84 pelajar NBD melanjutkan pengajian di Republik Arab Mesir

21 Sep 2026 - 7:02am

Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi

Foto : Pg. Nur Hafilah Pg. Osman

BERAKAS, Ahad, 20 September. - Seramai 84 pelajar Negara Brunei Darussalam (NBD) bakal melakar langkah baharu dalam perjalanan akademik apabila melanjutkan pengajian tinggi di Universiti Al-Azhar dan Ma'ahad Qiraat Shoubra, Republik Arab Mesir bagi Sesi Pengajian 2026 / 2027.

Para pelajar berkenaan akan mengikuti pengajian dalam pelbagai bidang pengajian Islam, termasuk Syariah Islamiyyah, Lughah Arabiyyah, Usuluddin serta Takhassus Al-Quran Wal Qiraat.

Daripada jumlah tersebut, seorang pelajar merupakan penerima Skim Biasiswa Sultan's Scholar, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, manakala dua orang menerima Skim Biasiswa Kementerian Pertahanan dan 16 orang menerima Skim Biasiswa Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) melalui Jabatan Pengajian Islam (JPI). Sementara itu, seramai 65 pelajar mengikuti pengajian secara persendirian.

Sebagai langkah awal perjalanan akademik tersebut, rombongan pertama yang terdiri daripada 41 pelajar telah berlepas petang tadi menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dengan menaiki Penerbangan Diraja Brunei (RB) BI873, sebelum meneruskan penerbangan ke Republik Arab Mesir.

Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi mengucapkan selamat belayar kepada para pelajar ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan.

Turut hadir, Setiausaha Tetap KHEU,  Dr. Awang Haji Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Awang Haji Ahmad; Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) KHEU,  Awang Haji Shamshol bin Haji Omar; Pemangku Pengarah Pengajian Islam, Dayang Hajah Mariana binti Haji Jamil; penolong-penolong pengarah serta pegawai-pegawai dari JPI dan ahli keluarga para pelajar.

Bagi memohon keselamatan, kelancaran dan keberkatan perjalanan, Sembahyang Fardu Asar dan Sembahyang Sunat Hajat telah diadakan di Surau Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, disusuli dengan bacaan Doa Selamat sebelum berlepas meninggalkan negara.

Sementara itu, rombongan kedua yang terdiri daripada 43 pelajar dijadualkan berlepas ke Republik Arab Mesir pada Isnin, 21 September 2026, pada pukul 5.45 petang, dengan menaiki pesawat RB BI873.

Rombongan para pelajar tersebut bukan sahaja menandakan kesinambungan tradisi keilmuan NBD di bumi Al-Azhar, malah membuka ruang kepada generasi muda negara untuk memperkukuh ilmu, memperluas pengalaman serta mendalami bidang pengajian Islam di salah sebuah institusi pendidikan Islam terkemuka dunia.