7 pelajar terima Biasiswa Pendidikan Belia NBD-Republik Singapura

27 Nov 2026 - 8:22am

Oleh : Marlinawaty HussinFoto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 26 November. - Seramai tujuh orang pelajar menerima Biasiswa Pendidikan Belia Negara Brunei Darussalam (NBD) - Republik Singapura bagi mengikuti pengajian peringkat menengah di negara berkenaan mulai Januari 2027.

Majlis Menandatangani Perjanjian dan Penganugerahan Skim Biasiswa Pendidikan Belia NBD - Republik Singapura Tahun Pengajian 2027 tersebut diadakan di Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr. Hajah Romaizah binti Haji Md. Salleh.

Atur cara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Kesyukuran yang dipimpin oleh Ketua Pegawai Dermasiswa dan Kesejahteraan, Jabatan Pengurusan Biasiswa (JPB), Kementerian Pendidikan, Awang Haji Raminey bin Haji Salleh.

Majlis disusuli dengan ucapan alu-aluan oleh Pemangku Pengarah Pengurusan Biasiswa selaku Pengerusi Majlis, Dayang Rosimah Sumaimah binti Haji Matassim.

Acara kemudian diteruskan dengan sesi penandatanganan perjanjian bagi penerima anugerah biasiswa tersebut.

Menandatangani bagi pihak Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah Pemangku Pengarah Pengurusan Biasiswa, manakala Pesuruhjaya Tinggi Republik Singapura ke NBD, Tuan Yang Terutama Yip Wei Kiat menandatangani bagi pihak Kerajaan Republik Singapura.

Sementara itu, para penerima biasiswa telah menandatangani perjanjian tersebut bersama dua orang penjamin yang terdiri daripada ibu bapa, penjaga pelajar atau ahli keluarga terdekat.

Para penerima biasiswa terdiri daripada Awang Muhammad Safwan bin Mohammad Stephen dari St. Angela’s School, Seria; dan Awang Muhammad Haris Fadillah bin Muhammed Faisal serta Awang Muhammad Taufeeq Shakur bin Mohammed Adi Hamree dari Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan (MSPSBS).

Ketiga-tiga pelajar berkenaan akan melanjutkan pengajian di Temasek Secondary School.

Turut menerima biasiswa ialah Awang Muhammad Azaim Furqan bin Azizull Fikri dari St. John’s School, Kuala Belait yang akan menjalani pengajian di Dunman Secondary School.

Awang Mohamad Wa'izula'mirin bin Awang Haji Mohamad Shukri dari St. Andrew’s School pula akan melanjutkan pengajian di Temasek Secondary School.

Dua lagi penerima ialah Liew Juen Hao@ Jayden Lee dari MSPSBS yang akan bersekolah di Dunman Secondary School dan Bryan Kong Pang Jie dari Chung Hwa Middle School, Bandar Seri Begawan yang akan mengikuti pengajian di Victoria School.

Majlis yang diselenggarakan oleh JBP tersebut diakhiri dengan penyampaian sijil penganugerahan biasiswa kepada semua penerima oleh tetamu kehormat.

Turut hadir, Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi) Kementerian Pendidikan, Naib Canselor Universiti Teknologi Brunei, Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan, ketua-ketua jabatan serta Pegawai-pegawai Kanan Kementerian Pendidikan,pemimpin-pemimpin sekolah juga ibu bapa dan penjaga pelajar.