62 pain darah berjaya dikumpulkan

19 Sep 2026 - 6:37am

Siaran Akhbar dan Foto : Brunei Methanol Company Sdn. Bhd.

BELAIT, Jumaat, 18 September. - Brunei Methanol Company Sdn. Bhd. (BMC) berjaya mengumpulkan sebanyak 62 pain darah menerusi Kempen Derma Darah tahunannya yang diadakan di Dewan Serbaguna Sungai Liang Industrial Park (SPARK), sebagai sokongan terhadap usaha yang memberi manfaat kepada komuniti.

Kempen berkenaan diadakan dengan kerjasama Tabung Darah, Hospital Suri Seri Begawan, Kuala Belait dan menghimpunkan warga SPARK serta orang ramai dalam usaha bersama untuk membantu para pesakit dan keluarga di seluruh Negara Brunei Darussalam yang mungkin memerlukan bekalan darah pada bila-bila masa.

Kempen berkenaan merupakan sebahagian daripada strategi Tanggungjawab Sosial Korporat BMC, #RESPECT, yang mencerminkan komitmen syarikat untuk memberikan sumbangan positif kepada komuniti, bukan sahaja melalui pengeluaran metanol.

Melalui inisiatif seumpama berkenaan, BMC terus memupuk budaya prihatin, kasih sayang dan tanggungjawab bersama komuniti yang disantuninya, di samping menyokong kesejahteraan negara.