Berita dan Foto : Ak. Mohamad Zaki Pg. Haji Kasharan
GADONG, Selasa, 8 September. - Seramai 50 pelajar terbaik yang menyertai Mitsubishi Asian Children’s Enikki Festa 2024 - 2025 diraikan petang tadi dalam Majlis Penyampaian Hadiah yang berlangsung di Songket Ballroom, The Rizqun International Hotel, Abdul Razak Complex, Gadong.
Acara yang dikendalikan oleh Jabatan Pendidikan Kokurikulum melalui Bahagian Kesenian dan Kreativiti tersebut diadakan adalah bertujuan bagi meraikan para pelajar yang berjaya mendapat keputusan ‘50 teratas’ (Top 50) dalam pertandingan tersebut di peringkat kebangsaan.
Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para penerima ialah Timbalan Ketua Misi dan Kaunselor Kedutaan Jepun di Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Miura Keiko.
Pertandingan yang telah disertai oleh seramai 267 pelajar, terdiri daripada 70 pelajar lelaki dan 197 pelajar perempuan, dari 37 buah sekolah rendah kerajaan dan swasta di bawah Kementerian Pendidikan dan sekolah Arab di bawah Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) di peringkat kebangsaan.
Daripada jumlah tersebut, seramai 50 pelajar telah terpilih untuk menerima pengiktirafan berupa hadiah dan sijil bagi Sesi 2024 - 2025 iaitu lapan penyertaan terbaik telah menerima pengiktirafan mengikut kategori dan 42 penyertaan sebagai penerima hadiah sagu hati.
Penerima-penerima pengiktirafan adalah seperti Awangku Aisy Athallah bin Pengiran Md. Irwana Termizan yang menerima Grand Prix Awards; Awang Muhammad Aaqib Irfan bin Muhammad Aryan Iqram menerima Mitsubishi Public Affairs Committee Award; Dayang Raihana binti Haji Mohd. Bashir pula menerima Asian Pacific Federation of UNESCO Clubs and Associations Award, dan Dayang Bethany Ng Shi Ning yang menerima National Federation of UNESCO Associations in Japan Award.
Manakala empat penerima Excellent Award pula ialah Dayang Chin Si Ying, Dayang Khairun Nisa binti Rusli, Dayang Nurdamia Batrisya binti Yusrin dan Dayang Fisoffil ‘Ulya binti Mohammad Farizal. Pemenang Grand Prix turut menerima hadiah dan sijil dalam satu majlis peringkat antarabangsa yang telah diadakan di Jepun pada bulan Ogos 2025.
Pertandingan Mitsubishi Asian Children’s Enikki Festa dianjurkan setiap dua tahun dan dibukakan kepada pelajar-pelajar yang berumur antara enam hingga 12 tahun sewaktu pertandingan. Pertandingan ini terbahagi kepada dua peringkat saringan, iaitu saringan kebangsaan dan saringan antarabangsa.
Pada peringkat saringan kebangsaan, komiti di setiap negara yang mengambil bahagian akan memilih penyertaan cemerlang untuk dihantar ke saringan antarabangsa mengikut jumlah yang ditentukan oleh pihak penganjur. Manakala, saringan antarabangsa dijalankan bagi memilih pemenang Grand Prix, Organizers’ Awards dan Excellence Awards di Jepun.
“Enikki” atau Illustrated Diaries menggambarkan peristiwa harian serta bayangan pemikiran dalam bentuk lukisan dan karangan atau cerita pendek. Pertandingan Enikki ini dianjurkan di peringkat antarabangsa oleh Mitsubishi Public Affairs Committee, Asian Pacific Federation of UNESCO Clubs and Associations dan National Federation of UNESCO Associations in Japan.
Pertandingan ini bukan sahaja memberikan ruang kepada para pelajar untuk mengekspresikan pengalaman, pemikiran dan kreativiti mereka melalui lukisan serta penulisan, malah turut menggalakkan mereka untuk berkongsi perspektif dan pengalaman kehidupan seharian melalui karya seni yang dihasilkan.