39 penerima biasiswa tandatangani perjanjian

3 Sep 2026 - 6:42am

Oleh : Pg. Syi'aruddin Pg. Dauddin

Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi

GADONG, Rabu, 2 September. - Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Pengurusan Biasiswa mengadakan Majlis Menandatangani Perjanjian dengan Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bagi tiga orang penerima The Chancellor's Scholar Universiti Brunei Darussalam (UBD) dan 36 orang penerima Biasiswa Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia di bawah Skim Biasiswa Peringkat Ijazah Sarjana Muda ke Luar Negeri bagi Sesi Akademik 2026/2027.

Majlis berkenaan berlangsung di Goldstone Ballroom, The Centrepoint Hotel.

Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyaksikan penandatanganan perjanjian tersebut ialah Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi), Kementerian Pendidikan, Dr. Haji Azman bin Ahmad.

Menandatangani bagi pihak Kerajaan Kebawah DYMM ialah Naib Canselor UBD, Dr. Hazri bin Haji Kifle bagi The Chancellor's Scholar UBD, manakala bagi Biasiswa Kerajaan ke Luar Negeri ditandatangani oleh Pemangku Pengarah Pengurusan Biasiswa, Dayang Rosimah Sumaimah binti Haji Matassim.

Sementara itu, para penerima menandatangani perjanjian tersebut ditemani dengan dua orang penjamin masing-masing.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Kesyukuran yang dipimpin oleh Ketua Pegawai Dermasiswa dan Kesejahteraan, Jabatan Pengurusan Biasiswa, Awang Haji Raminey bin Haji Salleh.

Acara kemudiannya diteruskan dengan sesi menandatangani borang perjanjian bagi kesemua penerima anugerah biasiswa tersebut.