38 graduan ITQSHHB diraikan pada Majlis Doa Kesyukuran

10 Sep 2026 - 7:41am

Oleh : Hajah Siti Zuraihah Awang Haji Sulaiman

Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said

BERAKAS, Rabu, 9 September. – Sebagai tanda kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala serta bagi meraikan kejayaan para graduan yang telah berjaya menamatkan pengajian bagi sesi pengajian 2023 hingga 2026, Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB) mengadakan Majlis Doa Kesyukuran sempena Majlis Haflut Takharruj ITQSHHB Ke-14, Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi.

Majlis berkenaan diadakan di Cesar Grand Hall, Tingkat 8, Mulia Hotel, Kampung Anggerek Desa, di sini.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis berkenaan, Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, selaku Pengerusi Lembaga ITQSHHB dan Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Haflut Takharruj ITQSHHB Ke-14, Tahun 1448H/2026M.

Turut hadir, Peguam Negara, Yang Berhormat Datin Seri Paduka Dayang Hajah Nor Hashimah binti Haji Mohammed Taib, selaku Ahli Lembaga ITQSHHB; Setiausaha Tetap, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Dr. Awang Haji Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Haji Ahmad; Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan), KHEU, Awang Haji Shamshol bin Haji Omar; jemputan-jemputan khas; pemangku pengetua; timbalan-timbalan pemangku pengetua; pensyarah-pensyarah; pegawai-pegawai; guru-guru; serta graduan-graduan yang diraikan.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Pensyarah Diploma 'Aliyah Qiraat, ITQSHHB, Dr. Sheikh Haji Muti'a Al-Kabbani Mahmoud.

Pengetua ITQSHHB, Pengiran Dr. Haji Amiruddin bin Pengiran Haji Damit, selaku Pengerusi Majlis Haflut Takharruj ITQSHHB Ke-14, Tahun 1448H/2026M dalam ucapan alu-aluaannya mengongsikan, majlis berkenaan meraikan 38 graduan Diploma 'Aliyah Qiraat sesi pengajian 2023 hingga 2026, yang telah berjaya menamatkan pengajian selama tiga tahun, merangkumi enam semester.

Jelasnya lagi, di samping itu 28 graduan pula memperoleh pangkat Mumtaz, manakala 10 graduan memperoleh pangkat Jayyid.

“Kejayaan para graduan yang amat disyukuri ini, hasil suluh usaha, disiplin dan pengorbanan sepanjang tempoh pengajian.

“Kejayaan ini juga tidak mungkin dicapai dengan doa dan taufik ibu bapa dan penjaga, bimbingan serta pelita ilmu daripada para pensyarah dan guru, serta sokongan seluruh warga kerja institut,” ujarnya lagi.

Beliau seterusnya menjelaskan, graduan yang diraikan pada tahun ini merupakan pengambilan pertama sejak penaiktarafan menjadi program Diploma Tertinggi 'Aliyah Qiraat. Mereka bukan sahaja menjadi sebahagian daripada sejarah perkembangan dan pencapaian ilmiah institut, malah kejayaan mereka pada hari ini menjadi satu cetusan penanda aras kepada generasi seterusnya.

Acara seterusnya ialah penyerahan buku bertajuk 'Bacaan Al-Quran dengan Qiraat 10 Berserta Pengenalan Imam-imam Qiraat, Edisi Surah Al-Fatihah', yang merupakan sumbangan graduan Diploma Tertinggi 'Aliyah Qiraat, ITQSHHB Kali Ke-14, kepada tetamu kehormat majlis.

Majlis kemudiannya diteruskan dengan penyampaian Anugerah Cemerlang Diploma Tertinggi 'Aliyah Qiraat kepada 11 penerima, diikuti dengan penyampaian sijil penghargaan kepada para penaja Haflut Takharruj Kali Ke-14, ITQSHHB.

Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Kesyukuran oleh Pensyarah Diploma Aliyah Qiraat, ITQSHHB, Dr. Sheikh Haji Muti'a Al-Kabbani Mahmoud.