36 peserta sertai Kuliah Ilmu Profesional Kaunseling

9 Sep 2026 - 6:16am

Siaran Akhbar dan Foto : Majlis Perundingan Mukim Liang

 

BELAIT, Selasa, 8 September. -  Majlis Perundingan Mukim (MPM) Liang dengan kerjasama Majlis Perundingan Kampung (MPK) di Mukim Liang baru-baru ini menganjurkan Program Kuliah Ilmu Profesional Kaunseling, yang diadakan di Dewan Kelab Rekreasi Liang-Lumut (LLRC).

Kuliah berkenaan dibahagikan kepada dua sesi, iaitu sesi pertama yang membincangkan mengenai Dasar Memberi Kaunseling, diikuti sesi kedua mengenai Teknik Kaunseling. Kedua-dua sesi disampaikan oleh Kaunselor, Profesor Dr. Haji Ismail bin Opak.

Seramai 36 orang peserta menghadiri kuliah berkenaan terdiri dari Ahli-ahli Jawatankuasa Perundingan Mukim dan Kampung serta golongan belia di Mukim Liang.

Program Kuliah ilmu ini dihasratkan sebagai wadah untuk memudahkan peserta-peserta dalam melibatkan diri bagi membantu kejayaan program-program tahunan MPM/MPK dan secara langsung dapat memupuk sikap tanggungjawab secara berterusan di kampung masing-masing.

Penyertaan mereka mencerminkan penglibatan penduduk kampung dan golongan belia sebagai rakan strategik dalam sama-sama menyumbangkan idea dan memainkan peranan aktif dalam membantu jentera Majlis Perundingan Mukim dan Kampung di Mukim Liang.

Penganjuran Kuliah Ilmu ini juga merupakan sebahagian daripada usaha berterusan MPM Liang bersama Majlis-majlis Perundingan Kampung di Mukim Liang, Daerah Belait dalam menggalakkan penglibatan seluruh lapisan masyarakat, khususnya golongan belia dan penduduk kampung untuk sama-sama memainkan peranan dalam melaksanakan program-program kemasyarakatan, ekonomi, kebudayaan dan sebagainya.