Siaran Akhbar dan Foto : Jabatan Kastam dan Eksais Diraja
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 17 September. - Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) telah menjalankan beberapa operasi pemeriksaan dan penguatkuasaan di pos-pos kawalan yang mana hasil telah mendapati beberapa barangan yang disyaki melanggar peruntukan undang-undang kastam.
Pegawai JKED telah menahan dua wanita warga tempatan masing-masing berusia 27 dan 22 tahun, semasa menjalankan pemeriksaan rutin di Pos Kawalan Sungai Tujoh.
Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan yang digunakan oleh kedua-dua wanita tersebut mendapati beberapa bungkusan yang diikrarkan sebagai alat ganti kereta dan cenderahati yang turut mengandungi tumbuhan kering yang disyaki merupakan barangan terkawal.
Barang-barang tersebut telah dirampas untuk diserahkan kepada Biro Kawalan Narkotik (BKN) bagi tujuan pemeriksaan dan tindakan selanjutnya. Hasil pemeriksaan lanjut mengesahkan ia adalah dadah terkawal dengan berat keseluruhan 4,254.32 gram.
Dalam kejadian berasingan di Pos Kawalan Kuala Lurah, pemeriksaan rapi ke atas sebuah kenderaan dengan nombor pendaftaran Brunei Darussalam telah menemukan beberapa bungkusan plastik hitam yang tidak diikrarkan.
Pemeriksaan lanjut mendapati bungkusan tersebut mengandungi 360 tin bir, 12 botol whisky, lapan botol vodka serta 200 paket rokok pelbagai jenama. Seorang lelaki berusia 37 tahun dan seorang wanita berusia 26 tahun, kedua-duanya warga Brunei Darussalam dan beragama Islam telah ditahan bersama kenderaan berkenaan.
Kes tersebut telah diserahkan kepada Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang JKED untuk siasatan dan tindakan lanjut.
JKED, melalui Bahagian Cawangan dan Pos Kawalan, komited dalam melaksanakan pemeriksaan di semua pos kawalan bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang kastam, di samping mencegah kemasukan barang larangan atau terkawal.
JKED menegaskan bahawa sebarang cubaan untuk menyeludup atau membawa masuk dan keluar barang larangan dan tegahan merupakan kesalahan serius dan boleh dikenakan tindakan undang-undang. Orang awam dinasihatkan untuk sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa serta memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa dalam usaha membanteras aktiviti penyeludupan.
Seterusnya, JKED merakamkan penghargaan kepada orang ramai yang telah memberikan kerjasama dalam menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan yang melanggar undang-undang.
Sebarang maklumat mengenai aktiviti penyeludupan atau pelanggaran undang-undang Kastam boleh disalurkan melalui Talian Hotline JKED, +673 8714422 atau +673 8721422 atau dengan menghubungi pejabat kastam yang berhampiran.