Siaran Akhbar dan Foto : Jabatan Bandaran
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 23 September. - Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan melalui Seksyen Penguatkuasaan telah mendapati dua kes pelanggaran Akta Kesalahan-Kesalahan Rampaian Penggal 30 Bab 12(1) semasa melaksanakan kerja-kerja pemantauan dan rondaan rutin di kawasan-kawasan sekitar Batu Bersurat dan Kampung Menglait pada 1 September 2026.
Hasil daripada kerja-kerja pemantauan tersebut, tindakan denda kompaun telah dikenakan ke atas dua buah syarikat, iaitu kes pertama, Syarikat A Little Patisserie Sdn. Bhd. dikenakan kompaun BND500 setelah didapati melakukan kesalahan di bawah Bab 12 (1)(a) iaitu membuang/ melonggokkan bekas kotak-kotak perniagaan terpakai di kawasan belakang kedai Unit 49, Ground Floor, Bangunan Haji Hassan Abdullah, Kampung Menglait, Gadong.
Manakala kes kedua, Syarikat Kon & Leong Enterprise dikenakan kompaun BND1,000 setelah didapati melakukan kesalahan di bawah Bab 12 (1)(e) iaitu meninggalkan / melonggokkan barang elektrik seperti bekas peti ais dan bekas tong mesin cuci di kawasan belakang kedai Unit 3, Ground Floor, Kompleks 'The Curve', Jalan Batu Bersurat, Kampung Pengkalan Gadong.
Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan ingin mengingatkan orang ramai, pihak syarikat dan Pemilik Premis Perniagaan, bahawa adalah menjadi satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Rampaian Penggal 30 jika sekiranya kebersihan alam sekitar tidak dijaga bersama, yang mana denda maksima, jika didapati sabit kesalahan, adalah sebanyak BND30,000, dihukum penjara tidak melebihi tempoh 12 bulan, atau keduanya sekali.
Orang ramai, pihak syarikat dan Pemilik Premis Perniagaan disarankan supaya tidak membuang, melonggokkan, menumpahkan atau meninggalkan apa jua jenis sampah sarap, cecair dan sisa perniagaan di sebarang tempat awam dan jika sekiranya didapati pesalah yang melanggar peraturan ini, orang ramai dialukan-alukan untuk mengemukakan aduan atau berkongsi maklumat melalui nombor talian Hotline Seksyen Penguatkuasaan +673 7291122.