Oleh : Hajah Siti Zuraihah Awang Haji Sulaiman
Foto : Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman
BERAKAS, Jumaat, 18 September. - Seramai 14 peserta yang berjaya menamatkan Kursus Asas Pemandu Pelancong diraikan pada Majlis Penyampaian Sijil bertempat di Dewan Setia Pahlawan, Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri (KEPI), baru-baru ini.
Hadir bagi menyempurnakan penyampaian sijil berkenaan, Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan), KEPI, Awang Haji Muhammad Safwan bin Abdullah Bibi.
Kursus Asas Pemandu Pelancong berkenaan telah dikendalikan selama 10 hari bermula pada 10 hingga 20 Ogos 2026 dan merupakan penganjuran kali ke-19 sejak kursus berkenaan diperkenalkan pada 2016.
Kursus berkenaan merupakan salah satu prasyarat yang ditetapkan oleh Jabatan Kemajuan Pelancongan (JKP) bagi mana-mana individu yang berkeinginan untuk menjadi pemandu pelancong yang berlesen di Negara Brunei Darussalam (NBD).
Semenjak 2016, seramai 269 pemandu pelancong telah pun berdaftar di JKP dan telah berjaya menamatkan Kursus Asas Pemandu Pelancong melalui kerjasama di antara pihak JKP dan pihak Laksamana College of Business (LCB), iaitu sebuah institusi yang telah dilantik bagi mengendalikan kursus berkenaan.
Kursus Asas Pemandu Pelancong merupakan salah satu usaha strategik JKP dalam membuat persediaan rapi menjelang Tahun Melawat Brunei 2027 (VBY 2027).
Melalui pemilikan kemahiran teras, kompetensi tinggi, dan pengetahuan mendalam, para pemandu pelancong baharu berkenaan bakal bertindak sebagai duta barisan hadapan (frontline ambassadors) yang memainkan peranan penting dalam menyambut kedatangan pelancong antarabangsa dan tempatan.
Melalui kursus berkenaan, para peserta akan memastikan maklumat mengenai sejarah, budaya, warisan dan destinasi pelancongan NBD disampaikan kepada para pelancong adalah tepat, selaras dan menarik, seterusnya memberikan pendedahan pengalaman mesra yang berimpak tinggi.
Di samping itu, inisiatif berkenaan turut membuka peluang pekerjaan professional kepada penduduk tempatan, khususnya golongan belia, serta memperkukuh daya saing industri pelancongan negara.
Bagi pemandu pelancong yang telah lulus kursus asas berkenaan hendaklah mengemukakan permohonan kepada JKP, KEPI bagi mendapatkan Lesen Pemandu Pelancong. Mana-mana individu yang menjalankan perkhidmatan sebagai pemandu pelancong tanpa lesen yang sah atau mengiklankan atau menawarkan perkhidmatan pelancongan persendirian tanpa kebenaran, boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 20(3), Akta Pelancongan, Penggal 239. Bagi kesalahan pertama, denda tidak melebihi BND5,000, manakala bagi kesalahan kedua dan seterusnya, denda tidak melebihi BND10,000.
Diharapkan para peserta yang diraikan akan dapat mengaplikasikan pengetahuan, etika dan standard perkhidmatan professional yang diperoleh untuk memberikan perkhidmatan yang berkualiti tinggi.
Kehadiran pemandu pelancong baharu yang bertauliah berkenaan secara langsung akan memperkukuh kapasiti perkhidmatan negara dalam menampung keperluan pelancong, mewujudkan imej pelancongan yang positif, dan seterusnya menyokong kejayaan acara VBY 2027.
Memandangkan adanya keperluan dan permintaan tinggi bagi pemandu pelancong berlesen menjelang VBY 2027, JKP mempelawa para belia terutamanya yang sedang dan masih mencari pekerjaan untuk mengikuti kursus yang ditawarkan.
Pendaftaran bagi kursus seterusnya akan dibuka kepada orang ramai dan dijangka akan diadakan pada Oktober 2026. Sebarang pertanyaan dan pendaftaran bolehlah menghubungi LCB.