BANGKOK, 25 Sept. - Jabatan Perdagangan Dalam Negeri Thailand merancang meningkatkan simpanan strategik beras negara itu sebanyak 30 peratus dan simpanan minyak sawit mentah sebanyak 20 peratus sebagai persediaan menghadapi kemungkinan kemarau akibat fenomena El Niño.
Ketua Pengarah jabatan itu Wittayakorn Maneenet berkata cadangan peningkatan stok keselamatan berkenaan bertujuan memperkukuh keterjaminan makanan serta menyediakan mekanisme bagi menstabilkan pasaran domestik berikutan potensi risiko bekalan dan harga.
"Alasan kami mencadangkan peningkatan stok keselamatan ialah pemantauan terhadap stok beras global menunjukkan bekalan meningkat, tetapi harga beras secara keseluruhan masih belum turun.
"Walaupun stok beras global meningkat, harga masih kekal tinggi, mencerminkan bahawa negara-negara sudah mula membeli beras untuk disimpan bagi memastikan keterjaminan makanan domestik dan membuat persediaan menghadapi kemungkinan kemarau," kata beliau dalam satu kenyataan.
Witthaya berkata harga minyak sawit mentah juga kekal agak kukuh meskipun berlaku perubahan dalam bekalan.
Beliau berkata Thailand dijangka tidak berdepan kekurangan beras dan minyak sawit akibat El Niño memandangkan negara itu merupakan pengeluar utama kedua-dua komoditi berkenaan.
Beliau juga berkata harga beras kilang dan minyak sawit botol juga dijangka tidak meningkat dengan ketara kerana stok domestik masih mencukupi dan kemungkinan berlaku kekurangan adalah rendah.
Mengenai langkah mengawal harga pengguna khususnya makanan, minuman dan barangan keperluan harian yang bergantung kepada bahan mentah pertanian, Witthaya berkata jabatan itu memantau dengan teliti bekalan dan harga produk pertanian.
Jabatan itu turut mengadakan perbincangan dengan pengeluar barangan keperluan pengguna, termasuk sabun, ubat gigi dan syampu, serta menggesa mereka mengekalkan pengeluaran pada tahap mencukupi.
Witthaya berkata ketika ini tiada dasar untuk menaikkan harga barangan, walaupun sesetengah produk menjadi lebih mahal selepas kempen promosi ditamatkan.
Jabatan itu turut menggesa rangkaian peruncit dan pemborong menggilirkan kempen promosi bagi produk terpilih untuk membantu mengawal harga pengguna. - ©BERNAMA