Seorang maut, 5 cedera dalam insiden tembakan di Portland, AS

3 Og 2026 - 11:40am

SAN FRANCISCO, 3 Ogos. - Seorang maut manakala lima lagi cedera dalam insiden tembakan di sebuah kawasan kejiranan di Portland, negeri Oregon, Amerika Syarikat (AS) pada pagi Ahad, menurut kerajaan tempatan dalam satu kenyataan media, lapor Xinhua.

Menurut kenyataan itu, pada 3.33 pagi waktu tempatan, anggota polis Portland yang bertugas di North Precinct menerima laporan mengenai kejadian tembakan di blok 5800 Northeast Alberta Street.

Setibanya di lokasi, polis menemukan dua mangsa yang dipercayai mengalami kecederaan akibat tembakan.  Kedua-dua mangsa dibawa ke hospital dengan ambulans.

Tidak lama kemudian, polis dimaklumkan bahawa empat lagi mangsa telah tiba di hospital tempatan dengan kenderaan persendirian, menurut kenyataan itu.

Seorang lelaki dewasa kemudian disahkan meninggal dunia di hospital, manakala lima mangsa lain menerima rawatan bagi kecederaan yang dipercayai tidak mengancam nyawa. Kenyataan itu turut memaklumkan bahawa seorang daripada mangsa yang cedera ialah remaja.

Suspek atau beberapa suspek meninggalkan lokasi selepas kejadian dan setakat ini tiada tangkapan dilakukan. - ©BERNAMA