Transformasi digital pemangkin kepelbagaian ekonomi negara

16 Okt 2026 - 8:38am

Oleh : Nooratini Haji Abas

Foto : Mohammad Hasif Matzin

GADONG, Khamis, 15 Oktober. - Transformasi digital merupakan satu lagi pemangkin penting dalam mempercepat agenda kepelbagaian ekonomi negara. Malahan, pendigitalan adalah pemacu yang berkesan bagi meningkatkan produktiviti, inovasi dan daya tahan ekonomi.

Justeru itu, pendigitalan memainkan peranan penting dalam meningkatkan keberkesanan sektor awam, mengurangkan kos transaksi serta mewujudkan persekitaran yang lebih kondusif untuk perniagaan dan pelabur.

Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Ekonomi dan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin menekankan demikian pada Baiduri Momentum Summit 2026 yang diadakan di Hotel Antarabangsa Rizqun, di sini.

Menurut Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Ekonomi dan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri, di bawah inisiatif Digital Brunei 2030, ‘Bersama Menuju Brunei Digital,’ penekanan tertumpu terhadap empat tonggak iaitu Kerajaan Digital, Masyarakat Digital, Perniagaan Digital, serta Data dan Kecerdasan Buatan.

“Kita sedang beralih daripada peringkat pembinaan asas kepada penyampaian hasil yang nyata dan mampan untuk ekonomi, perniagaan, kerajaan, dan masyarakat.

“Kesannya sudah pun ketara. Aktiviti berkaitan ICT kita khususnya telekomunikasi dan pengaturcaraan komputer telah mencapai pencapaian ekonomi yang signifikan, dengan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) meningkat daripada BND372 juta pada tahun 2015 kepada BND475 juta pada tahun 2025. Pada masa yang sama, infrastruktur digital kita, terutamanya rangkaian mudah alih, terus tersenarai antara yang terbaik di dunia,” ujar Yang Berhormat.

Walau bagaimanapun, transformasi digital tegas Yang Berhormat lagi bukan sekadar mengenai infrastruktur atau teknologi.  Kejayaannya kelak akan diukur berdasarkan sejauh mana ia berkesan dalam meningkatkan produktiviti, mengukuhkan perniagaan, menambah baik perkhidmatan awam, serta mewujudkan peluang ekonomi baharu untuk rakyat kita.

Sementara itu, dalam melangkah ke hadapan, pertumbuhan Negara Brunei Darussalam (NBD) pada masa hadapan tambah Yang Berhormat akan terus berteraskan pembangunan berterusan sektor keutamaan negara.

Yang Berhormat berkata sektor-sektor ini merupakan pemangkin penting untuk menarik pelaburan swasta berkualiti tinggi serta mewujudkan pekerjaan bermakna dan bernilai tinggi untuk rakyat.

“Kita berhasrat untuk membangunkan ekonomi bernilai tinggi yang bukan sahaja mampu bersaing dalam pasaran global, malah berupaya menjadi penyumbang yang diiktiraf kepada inovasi serantau dan pertumbuhan yang mampan.

“Namun, untuk merealisasikan aspirasi ini, ia memerlukan lebih daripada sekadar dasar yang mantap. Ia menuntut penggemblengan modal, kepakaran, teknologi, dan akses pasaran secara berkesan. Di sinilah institusi kewangan, termasuk Bank Baiduri, memainkan peranan yang penting,” kata Yang Berhormat lagi.

Institusi kewangan terang Yang Berhormat, merupakan arkitek kepada pelbagai kemungkinan; ia menjadi kunci untuk membuka peluang-peluang baharu.

“Dengan menyediakan penyelesaian pembiayaan yang inovatif, memperkasakan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) kita, serta membantu perniagaan yang berdaya maju untuk berkembang daripada idea yang berani kepada usaha niaga yang berjaya, anda berperanan sebagai penggerak utama dalam usaha kepelbagaian ekonomi kita,” ujar Yang Berhormat.

Bahkan, sidang kemuncak berkenaan menurut Yang Berhormat merupakan forum yang paling tepat untuk tujuan ini. Ia menghimpunkan pelbagai perspektif yang diperlukan bagi menterjemahkan aspirasi peringkat tinggi kita kepada hasil yang praktikal dan nyata bagi para pelabur serta usahawan.

Usaha untuk membuka peluang dalam dunia yang sentiasa berubah tambah Yang Berhormat, tidak boleh dicapai secara bersendirian. Ia memerlukan pendekatan menyeluruh yang melibatkan seluruh negara, disokong oleh kerjasama erat antara kerajaan, sektor swasta, institusi kewangan, serta rakan-rakan antarabangsa kita.

Maka dari itu, jelas Yang Berhormat, kerajaan kekal teguh dengan komitmennya untuk mewujudkan ekosistem yang kondusif dan mesra perniagaan. Ini merangkumi pengukuhan rangka kerja perundangan dan kawal selia, pemudahcaraan pelaburan berkualiti, pemerkasaan usahawan, pembangunan bakat yang bersedia untuk masa depan, serta memastikan pertumbuhan ekonomi kekal mampan dan inklusif.