Platform kerjaya hubungkan pencari kerja tempatan dengan majikan

16 Okt 2026 - 8:21am

Oleh : Aimi Sani

Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said

JERUDONG, Khamis, 15 Oktober. - Majlis Pelancaran Acara Kemuncak Jelajah Kerjaya 2026 anjuran Pusat Pekerjaan Brunei (PPB), Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) dilancarkan hari ini oleh Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman bertempat di BRIDEX, Jerudong.

Jelajah Kerjaya 2026 menyaksikan penyertaan sebanyak 113 pempamer yang menawarkan sebanyak 1,448 jawatan kosong.

Bertemakan ‘Melangkah Menuju Masa Depan’, Jelajah Kerjaya 2026 dilaksanakan di keempat-empat buah daerah sebagai platform yang menghubungkan pencari kerja tempatan dengan majikan, di samping memperkukuh kerjasama antara kerajaan, sektor swasta, institusi pendidikan dan latihan serta masyarakat dalam membangunkan ekosistem pekerjaan yang inklusif dan mampan.

Selain peluang pekerjaan, acara berkenaan turut mengetengahkan pembangunan kemahiran, keusahawanan, ekonomi ‘gig’ dan laluan kerjaya alternatif bagi membantu anak-anak tempatan meneroka pilihan pekerjaan dan pendapatan yang bersesuaian dengan minat, kelayakan dan potensi masing-masing.

Sebanyak 113 pempamer yang mengambil bahagian terdiri daripada 78 syarikat swasta, 20 agensi kerajaan, dua badan berkanun, 11 syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan dua syarikat pelaburan langsung asing (FDI).

Manakala sebanyak 1,448 jawatan yang ditawarkan merangkumi pelbagai peringkat kelayakan, iaitu sekolah menengah dan ke bawah, teknikal dan vokasional, Higher National Diploma (HND), ijazah sarjana muda serta jawatan tanpa syarat kelayakan khusus.

Majlis turut menyaksikan penyampaian Anugerah Brunei Local Opportunity and Outstanding Merit (BLOOM) bagi tahun kedua sejak diperkenalkan pada 2025, sebagai pengiktirafan terhadap komitmen syarikat dalam menyokong pembangunan tenaga kerja tempatan.

Anugerah tahun ini merangkumi dua kategori, iaitu Anugerah Pengambilan Anak Tempatan Terbaik Jelajah Kerjaya 2025 dan Anugerah Majikan Prihatin 2026.

Bagi Anugerah Pengambilan Anak Tempatan Terbaik Jelajah Kerjaya 2025 dimenangi oleh Aegis Secure Solutions Sdn. Bhd., yang berjaya mengambil lebih daripada 50 pencari kerja tempatan sebagai pekerja tetap menerusi penyertaan dalam Jelajah Kerjaya 2025. Pengiktirafan berkenaan turut mengambil kira komitmen syarikat terhadap peluang pekerjaan berkualiti, kesesuaian jawatan dan keberkesanan proses pengambilan pekerja.

Sementara itu, Anugerah Majikan Prihatin 2026 pula dimenangi oleh Royal Brunei Culinary (RBC) atas komitmen menyediakan peluang pekerjaan inklusif kepada Orang Kelainan Upaya (OKU). Syarikat berkenaan telah mengambil pekerja dalam kalangan OKU pada 2025 dan terus menawarkan peluang yang bersesuaian melalui Jelajah Kerjaya serta inisiatif pengambilan pekerja yang lain, sekali gus menjadi contoh kepada majikan lain dalam memupuk budaya pengambilan pekerja yang inklusif.

Turut hadir pada Majlis Pelancaran berkenaan, Setiausaha-Setiausaha Tetap dari kementerian-kementerian berkenaan, Naib Canselor Universiti Brunei Darussalam, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei, Pemangku Pegawai-pegawai Daerah dari keempat-empat buah daerah, serta wakil-wakil agensi kerajaan, industri dan rakan-rakan strategik.

Majlis diakhiri dengan lawatan tetamu kehormat ke reruai pameran PPB, agensi-agensi kerajaan dan syarikat-syarikat yang mengambil bahagian.

Acara Kemuncak Jelajah Kerjaya 2026 dibukakan kepada orang ramai, khususnya pencari kerja, sehingga Ahad, 18 Oktober 2026, dari pukul 9.00 pagi hingga 5.00 petang (waktu rehat pada Jumaat, pukul 11.30 pagi hingga 2.00 petang) di Dewan 1 dan 2, BRIDEX, Jerudong.