Pelaburan strategik memacu pertumbuhan ekonomi berdaya tahan

16 Okt 2026 - 8:35am

Oleh : Nooratini Haji Abas

Foto : Mohammad Hasif Matzin

GADONG, Khamis, 15 Oktober. - Membina ekonomi yang berdaya tahan dan dinamik memerlukan kita untuk bersikap proaktif; mewujudkan peluang baharu, mempertingkatkan keupayaan, serta menjalin kerjasama yang lebih erat bagi mengubah cabaran global menjadi pemangkin pertumbuhan.

Bukan itu sahaja, aspirasi ini merupakan teras kepada Wawasan Brunei 2035, khususnya matlamat ketiga, iaitu membina ekonomi yang dinamik dan mampan. Inti pati kepada matlamat ini ialah usaha berterusan Negara Brunei Darussalam (NBD) dalam mempelbagaikan ekonominya.

Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Ekonomi dan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin menggariskan perkara tersebut pada Baiduri Momentum Summit 2026 di Hotel Antarabangsa Rizqun, pagi tadi.

Perkara yang menjadi teras kepada matlamat ini ujar Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Ekonomi dan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri ialah usaha berterusan NBD dalam mempelbagaikan ekonomi. Usaha ini bukan bermaksud mengetepikan kekuatan tradisional negara, sebaliknya bertujuan membangunkan struktur ekonomi yang lebih seimbang, dengan sektor minyak dan gas serta sektor bukan minyak dan gas berkembang secara bersama bagi memastikan asas yang kukuh dan pelbagai demi menjamin kemakmuran negara pada masa hadapan.

“Menerusi Pelan Induk Ekonomi Negara Brunei Darussalam, kita sedang giat memperkukuh sektor-sektor keutamaan, iaitu sektor hiliran minyak dan gas; makanan; pelancongan; ICT dan perkhidmatan (khususnya aktiviti maritim dan penerbangan); serta pembuatan bernilai tinggi.

“Sektor-sektor ini dikenal pasti mampu menjana nilai ekonomi, menarik pelaburan, mewujudkan peluang pekerjaan yang bermakna, serta mengintegrasikan Brunei Darussalam dengan lebih mendalam ke dalam rantaian nilai serantau dan global,” tambah Yang Berhormat.

Yang Berhormat seterusnya menjelaskan, usaha kepelbagaiannya telah pun membuahkan hasil yang nyata. Sumbangan sektor bukan minyak dan gas kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) telah meningkat daripada 46 peratus pada tahun 2015 kepada 55 peratus pada tahun 2025.

Menurut Yang Berhormat lagi, apa yang lebih ketara ialah transformasi dalam profil eksport mereka, di mana bahagian komoditi bukan minyak dan gas melonjak daripada hanya 7 peratus pada tahun 2015 kepada 60 peratus pada tahun 2025, yang sebahagian besarnya didorong oleh pengembangan produk hiliran petroleum dan kimia.

Angka-angka ini kata Yang Berhormat, bukan sekadar statistik; ia mencerminkan kejayaan kita dalam mencipta nilai melangkaui industri-industri tradisional kita.

“Walau bagaimanapun, kami sedar bahawa kepelbagaian merupakan satu perjalanan jangka panjang. Bagi mengekalkan momentum ini, kita mesti menumpukan usaha untuk memacu produktiviti yang lebih tinggi, memupuk inovasi yang lebih hebat, serta memperkasakan sektor swasta yang mampu bersaing di persada global.

“Matlamat utama kita adalah untuk membina asas ekonomi yang bukan sahaja lebih luas dan kukuh, malah benar-benar bersedia untuk merebut peluang pada masa hadapan,” terang Yang Berhormat.

Menyentuh dalam kesalinghubungan serantau, Yang Berhormat menyatakan, untuk mencapai matlamat ini, kita perlu melihat melangkaui keupayaan domestik dan memperluas jangkauan ke rantau yang lebih luas.

Bagi negara yang mempunyai pasaran domestik yang agak kecil, kesalinghubungan serantau jelas Yang Berhormat, adalah penting untuk memperluas pasaran, mengukuhkan skala ekonomi, serta membolehkan penyertaan dalam rantaian bekalan serantau.

Tambah Yang Berhormat, kesalinghubungan bukan sekadar menghubungkan lokasi; ia merangkumi penyepaduan pasaran, perniagaan, dan penduduk. Ia melibatkan pewujudan ekosistem yang mantap yang meliputi kesalinghubungan maritim dan udara, rangkaian digital, serta fasilitasi perdagangan yang membolehkan ekonomi kita berkembang bersama-sama.

Dari itu, NBD terletak di persimpangan geografi yang strategik. Kedudukan unik ini ujar Yang Berhormat, membolehkan negara berfungsi sebagai hab penting dalam rantau BIMP-EAGA, yang menghubungkan subrantau tersebut dengan pasaran ASEAN yang lebih luas serta ekonomi-ekonomi utama dunia, termasuk Republik Rakyat China, Republik Korea, dan Jepun.

Teras utama strategi ini terang Yang Berhormat, ialah peluasan Pelabuhan Muara serta peningkatan keupayaan maritim dan logistik negara. Dengan memperkukuh kesalinghubungan maritim, kita dapat meningkatkan kedudukan negara ini dalam rantaian bekalan serantau, sekali gus mewujudkan peluang nyata dalam bidang pemindahan kargo (‘transshipment’), pergudangan, dan pengedaran.

Selain itu, kesalinghubungan udara yang mantap kekal penting bagi sektor pelancongan, e-dagang, dan pergerakan orang ramai. Melalui pelaburan dalam pintu-pintu akses ini, tegas Yang Berhormat, kita mampu mengubah lokasi strategik kita menjadi kelebihan daya saing bagi perniagaan di seluruh rantau ini.

Dalam hal ini, Yang Berhormat seterusnya percaya sektor swasta boleh memainkan peranan yang sangat penting, khususnya melalui pelaburan dalam infrastruktur strategik dan pembangunan peluang perniagaan baharu.