WASHINGTON, 5 Okt. - Pengawal Pantai Amerika Syarikat (AS) menghentikan operasi mencari enam individu yang menaiki sebuah pesawat kecil yang hilang di luar Pantai Timur AS selepas terputus hubungan awal Sabtu, dengan serpihan yang ditemukan kemudian dikenal pasti sebagai milik pesawat berkenaan, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Operasi mencari empat penumpang dari Kanada dan dua dari Bermuda itu tidak berhasil selepas meliputi kawasan pencarian lebih 7,000 kilometer dalam tempoh 66 jam, menurut pegawai.
"Keputusan untuk menghentikan operasi mencari bukan sesuatu yang mudah," kata Komander Daerah Timur Laut Pengawal Pantai Matthew Lake dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Ahad.
"Kami merakamkan ucapan takziah kepada keluarga dan insan tersayang yang terjejas akibat tragedi ini serta penghargaan kepada agensi rakan kerjasama yang membantu operasi pencarian," katanya.
Pesawat Gulfstream G100 yang didaftarkan sebagai C-GRJP berlepas dari Bermuda pada 12.41 tengah malam waktu tempatan, menurut perkhidmatan penjejakan penerbangan Flightradar24.
Isyarat pesawat itu hilang kira-kira sejam kemudian, dengan rekod penjejakan terhenti secara tiba-tiba ketika pesawat berada di ruang udara laut. Pesawat berkenaan dalam penerbangan menuju Boston, Massachusetts.
Pesawat itu didaftarkan atas nama Latitude Air Ambulance, sebuah syarikat Kanada yang berpangkalan di Hamilton dan mengkhusus dalam pengangkutan perubatan.
Lapangan Terbang Nantucket, antara lapangan terbang paling hampir dengan kawasan pantai berhampiran lokasi terakhir pesawat itu diketahui berada, dalam kenyataan yang diperoleh dpa memaklumkan pesawat berkenaan telah mengisytiharkan kecemasan sebelum hubungan terputus.
Keadaan sebenar yang membawa kepada insiden itu masih belum diketahui, menurut kenyataan berkenaan. - ©BERNAMA