Oleh : Marlinawaty Hussin
Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 5 Oktober. - Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) mencatat satu lagi pencapaian penting apabila menjadi institusi kewangan pertama di Negara Brunei Darussalam (NBD) yang memperoleh pensijilan bersepadu ISO 14001:2015 Environmental Management Systems dan ISO 45001:2018 Occupational Health and Safety Management Systems.
Pencapaian berkenaan mencerminkan komitmen BIBD terhadap kelestarian, kesejahteraan tempat kerja serta amalan organisasi yang kukuh dalam keseluruhan operasinya.
Majlis Pensijilan ISO itu berlangsung di Cawangan BIBD Yayasan, di ibu negara dan disempurnakan oleh Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman, merangkap Pengerusi BIBD.
Pensijilan tersebut merupakan pencapaian penting dalam usaha berterusan BIBD untuk memperkukuh keupayaannya serta membina sebuah organisasi yang berdaya tahan dan bertanggungjawab demi masa hadapan.
Ia diraih melalui perjalanan di seluruh organisasi selama sekitar 16 bulan, yang melibatkan pembangunan dan pelaksanaan Sistem Pengurusan Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar (HSE) yang komprehensif, pengukuhan struktur penyeliaan, pembangunan keupayaan pekerja, penilaian dalaman serta audit luaran secara bebas.
Apa yang paling menyerlah sepanjang perjalanan ini ialah sumbangan besar bakat tempatan BIBD.
Dengan sokongan kepimpinan yang kukuh serta didorong oleh komitmen bersama terhadap kecemerlangan, pelaksanaan piawaian yang diiktiraf di peringkat antarabangsa berkenaan berjaya diterajui oleh para pekerja di seluruh organisasi.
Dedikasi, keupayaan dan profesionalisme mereka membantu menterjemahkan keperluan piawaian tersebut kepada proses yang praktikal dan berkesan.
Pencapaian ini membuktikan bahawa golongan profesional Brunei mempunyai keupayaan untuk memenuhi penanda aras global, di samping menyumbang kepada pembangunan berterusan sektor kewangan negara.
Sebagai sebahagian daripada perjalanan tersebut, BIBD telah menubuhkan Jabatan HSE khusus pada Jun 2025 bagi menerajui inisiatif kesihatan, keselamatan dan alam sekitar di tempat kerja di seluruh bank berkenaan.
BIBD turut menubuhkan Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja, Pasukan Tindak Balas Kecemasan, melantik Penyelaras HSE di cawangan-cawangannya serta mendaftarkan seorang Pegawai Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja dengan SHENA, seterusnya memperkukuh pemilikan dan kebertanggungjawapan di seluruh organisasi.
Bagi institusi kewangan, pengurusan alam sekitar, kesihatan dan keselamatan yang berkesan menyokong kesinambungan perniagaan, kesiapsiagaan operasi serta kesejahteraan tenaga kerja.
Melalui sistem pengurusan bersepadu ini, BIBD telah memperkukuh lagi keupayaannya untuk mengurus risiko, menyokong para pekerja serta terus menyediakan perkhidmatan yang boleh dipercayai kepada pelanggan dan pihak berkepentingan.
Mengulas mengenai pencapaian tersebut, Pemangku Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BIBD, Awang Haji Mohammad Yusri bin Haji Wahsalfelah berkata, pencapaian pensijilan bersepadu ISO 14001:2015 dan ISO 45001:2018 merupakan satu pencapaian penting dalam perjalanan BIBD ke arah kecemerlangan institusi.
"Di sebalik pensijilan itu sendiri, pencapaian ini mencerminkan budaya, disiplin dan kebertanggungjawapan yang terus menjadi panduan dalam cara kami melaksanakan operasi.
"Ia juga menunjukkan komitmen kami untuk melindungi warga kerja, menjaga alam sekitar dan melakukan penambahbaikan berterusan terhadap organisasi," katanya dalam satu kenyataan.
Sebagai sebuah institusi kewangan Islam, jelas beliau, BIBD berpandukan prinsip amanah, penjagaan dan tanggungjawab.
"Dengan menerapkan piawaian global serta amalan terbaik yang diiktiraf ke dalam operasi, kami memperkukuh keupayaan untuk memberikan perkhidmatan kepada pelanggan, menyokong para pekerja serta mewujudkan nilai jangka panjang kepada pihak berkepentingan," tambahnya.
"Apa yang penting, pencapaian ini bukan sahaja menyumbang kepada pembangunan BIBD, malah turut membuktikan keupayaan institusi Brunei untuk memenuhi penanda aras global, sambil terus berpegang teguh pada nilai dan prinsip yang menjadi identiti negara kita," katanya.
Sebagai sebahagian daripada usaha ke arah pensijilan tersebut, pekerja terpilih telah mengikuti program latihan HSE dan ISO secara meluas yang merangkumi pengurusan alam sekitar, penilaian risiko, pengurusan insiden, tindak balas kecemasan, keselamatan di tempat kerja serta keperluan tadbir urus.
Pensijilan tersebut meliputi cawangan-cawangan BIBD dan operasi pejabat di seluruh organisasi, manakala Cawangan BIBD Yayasan yang baru dibuka akan dimasukkan ke dalam skop pensijilan pada peringkat seterusnya.
Bagi pelanggan dan pihak berkepentingan, pensijilan tersebut memberikan jaminan tambahan bahawa BIBD beroperasi berdasarkan sistem pengurusan berstruktur yang direka untuk menyokong pengurusan risiko, kesinambungan perniagaan serta penyampaian perkhidmatan perbankan penting.
Pencapaian berkenaan juga mencerminkan pelaburan berterusan bank itu dalam pembangunan warga kerja, proses dan keupayaan operasi.
Ia turut memperkukuh agenda kelestarian BIBD serta menyumbang kepada aspirasi Wawasan Brunei 2035, di samping menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), khususnya SDG 3: Kesihatan Baik dan Kesejahteraan; SDG 8: Pekerjaan Layak dan Pertumbuhan Ekonomi; SDG 12: Penggunaan dan Pengeluaran yang Bertanggungjawab; serta SDG 13: Tindakan Iklim.
Pensijilan turut dibina berasaskan usaha BIBD yang lebih luas dalam memperkukuh amalan kelestarian, meningkatkan keberkesanan organisasi serta mengekalkan persekitaran kerja yang selamat dan sihat.
Secara lebih menyeluruh, pencapaian tersebut menunjukkan bagaimana organisasi Brunei berjaya menerapkan amalan terbaik global sambil terus menjunjung nilai-nilai yang membentuk identiti negara.
Berpandukan budaya tempat kerja yang berteraskan amanah, keprihatinan, kebertanggungjawapan dan penambahbaikan berterusan, BIBD kekal komited untuk melindungi warga kerjanya, melaksanakan tanggungjawab terhadap alam sekitar serta memperkukuh asas yang diperlukan bagi menyokong pertumbuhan mampan dan pembangunan negara.