19 penduduk Kampung Kasat terima Sijil Pelantikan PKK

7 Okt 2026 - 5:54am

Berita dan Foto : Ihsan Ahli Pengawasan Kejiranan Kampung Kasat, Mukim Lumapas

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 6 Oktober. - Seramai 19 penduduk Kampung Kasat, Mukim Lumapas menerima Sijil Pelantikan Pengawasan Kejiranan Kampung (PKK) bagi Sesi 2026 - 2031 pada Majlis Penyampaian Sijil Pelantikan PKK yang berlangsung di Dewan Theatre, Jabatan Daerah Brunei dan Muara, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya menyampaikan sijil perlantikan, Pemangku Pegawai Pemerintah Daerah Polis Brunei dan Muara, Penguasa Kanan Polis Haji Mohamad Noor bin Haji Abdul Rahman.

Majlis berkenaan antara lain bertujuan untuk memperkukuh penglibatan masyarakat dalam sama-sama menjaga keselamatan dan kesejahteraan kawasan kejiranan, di samping meningkatkan kerjasama serta hubungan erat antara masyarakat dengan pihak Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB).

PKK merupakan salah satu platform bagi menggalakkan masyarakat untuk lebih peka dan prihatin terhadap keadaan sekeliling, khususnya dalam membantu mencegah berlakunya kejadian yang boleh menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam.

Dalam masa yang sama, penglibatan penduduk melalui PKK diharap dapat memupuk semangat tanggungjawab bersama serta mengeratkan lagi silaturahim dan semangat kejiranan dalam kalangan penduduk.

Dengan pelantikan bagi sesi 2026 hingga 2031 berkenaan, 19 ahli PKK Kasat diharap akan dapat melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang diberikan dengan penuh komitmen serta bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa demi mewujudkan persekitaran kampung yang aman, selamat dan harmoni.

Majlis berkenaan turut mencerminkan komitmen berterusan masyarakat Kampung Kasat dalam menyokong usaha pihak berkuasa ke arah memperkukuh keselamatan komuniti dan kesejahteraan penduduk.