Kebakaran libat dua kapal di pelabuhan Damietta Mesir

30 Jul 2026 - 12:08pm

KAHERAH, 30 Julai. - Dua kapal mengalami kebakaran di  pelabuhan utara Republik Arab Mesir, Damietta, pada Rabu, termasuk sebuah terminal pengewapan semula gas asli cecair (LNG) terapung dan sebuah kapal penyimpanan, menurut Kementerian Petroleum Mesir seperti yang dilaporkan oleh Agensi Akhbar Jerman (DPA).

Kementerian itu memaklumkan  pasukan tindak balas kecemasan dan pemadam kebakaran berjaya mengawal kebakaran mengikut  prosedur yang ditetapkan.

Pihak kementerian menambah tiada kecederaan atau kematian dilaporkan.

Punca kebakaran belum diketahui setakat ini sementara pihak berkuasa berkaitan sedang meneliti  insiden itu serta kesannya.

Terdahulu, penyedia perkhidmatan pelabuhan dan maritim, Inchcape Shipping Services, melaporkan kejadian letupan di terminal LNG semasa operasi pemunggahan kargo.

Syarikat itu menyatakan kapal  yang terlibat telah dialihkan dengan selamat dari kawasan pelabuhan namun tidak memberikan butiran lanjut. - ©BERNAMA