Dua aksi persahabatan berdepan Republik Rakyat China medan bentuk skuad masa depan - Cheng Hoe

5 Okt 2026 - 12:21pm

JAKARTA, 5 Okt. - Dua perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 menentang Republik Rakyat China bulan depan bukan sekadar medan memburu mata ranking, malah bakal menjadi platform penting buat Harimau Malaya menilai pemain bagi perancangan masa depan skuad kebangsaan.

Ketua jurulatih interim skuad kebangsaan Tan Cheng Hoe berkata usaha mendapatkan aksi persahabatan itu yang dijadual berlangsung di Guangzhou merupakan langkah positif dalam memastikan Malaysia mendapat persiapan berkualiti di pentas antarabangsa.

Beliau berkata Republik Rakyat China merupakan lawan yang mampu memberikan ujian berguna kepada pemain negara berdasarkan kekuatan serta pengalaman pasukan itu di peringkat Asia.

“Bagi saya, ini satu perancangan yang baik daripada pihak pengurusan, kita tahu China merupakan satu pasukan yang layak ke Piala Asia dan mereka mempunyai kekuatan tersendiri. Ia satu persediaan untuk pasukan (Malaysia) bagi masa depan.

“Kita mengharapkan dua perlawanan tersebut mampu memberi peluang kepada kita memilih pemain-pemain untuk masa akan datang,” kata jurulatih berusia 58 tahun itu ketika ditemui di sini.

Sebelum ini, Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Ab Ghani Hassan mengesahkan Harimau Malaya dijadualkan menentang Republik Rakyat China dalam dua aksi persahabatan Tier 1 di Guangzhou masing-masing pada 14 dan 17 November depan.

Ab Ghani berkata dua perlawanan itu penting dalam usaha pasukan negara mengumpul mata ranking dunia selain memburu kedudukan balang undian lebih baik bagi kempen kelayakan Piala Dunia 2030 / Piala Asia 2032.

Malaysia ketika ini menghuni kedudukan ke-136 manakala Republik Rakyat China ke-91 dalam ranking FIFA.

Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu menyaksikan Malaysia dan Republik Rakyat China terikat 1 - 1 pada aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di Chengdu pada September 2023. - ©BERNAMA