Arab Saudi perkasa pengalaman digital Dua Masjid Suci menerusi aplikasi 'Imamz'

9 Og 2026 - 2:28pm

MAKKAH, 9 Ogos. - Presidensi Hal Ehwal Agama Masjidil Haram dan Masjid Nabawi di Arab Saudi terus memperkasa perkhidmatan digital menerusi aplikasi 'Imamz' yang menyediakan akses kepada pelbagai perkhidmatan bersepadu serta kandungan keagamaan berkaitan Dua Masjid Suci, lapor Agensi Akhbar Saudi (SPA).

Aplikasi itu membolehkan pengguna mengikuti waktu solat di Dua Masjid Suci yang tepat dan dikemas kini setiap hari, melihat jadual imam dan bilal serta mengakses jadual khas imam bagi Solat Tarawih dan Tahajud sepanjang Ramadan.

Aplikasi itu turut menyediakan arkib digital solat harian dalam bentuk rakaman audio dan video, arkib Khutbah Jumaat dengan pilihan untuk didengar dan ditonton, serta Al-Quran audio visual yang menampilkan bacaan imam Dua Masjid Suci yang diselaraskan dengan teks Al-Quran.

Kandungan tambahan termasuk mesej kerohanian yang memberi inspirasi serta klip pilihan daripada bacaan Al-Quran serta petikan khutbah imam serta khatib Dua Masjid Suci, sekali gus membantu memperluas penyampaian mesej kedua-dua masjid berkenaan menerusi platform digital moden. - ©BERNAMA