Siaran Akhbar dan Foto : Ahli Jawatankuasa Futsal Hari Perkhidmatan Awam
BERAKAS, Selasa, 3 November. - Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) mempamerkan penguasaan cemerlang dalam Kejohanan Futsal Antara Kementerian - kementerian sempena Sambutan Hari Perkhidmatan Awam (HPA) Ke-33, Tahun 2026, apabila berjaya menjuarai Kategori Terbuka dan Veteran.
Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan hadiah-hadiah kepada pemenang ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha yang berlangsung di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.
Perlawanan kemuncak itu menyaksikan KHEDN dinobatkan sebagai juara selepas menewaskan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) menerusi penentuan sepakan penalti 3-2 selepas kedua-dua pasukan mengekalkan kedudukan jaringan 1-1 pada perlawanan sebenar pada perlawanan Kategori Terbuka.
Pasukan KHEDN menerima hadiah BND600, piala juara dan rebutan serta pingat sementara KHEU menerima BND400, piala naib juara dan pingat. Pasukan Kementerian Pendidikan (MOE) dan Pasukan Kementerian Kesihatan (MOH) akur menduduki tempat ketiga bersama dengan masing-masing membawa pulang BND250, piala dan pingat.
Anugerah Goleiro Terbaik dimenangi oleh Awang Md. Nabil Haji Maidin daripada Pasukan KHEU dan pemain lincah KHEDN, Awang Azwan Salleh menerima Anguerah Pemain Terbaik.
Sementara itu, Pasukan Veteran KHEDN juga cemerlang dengan membelasah Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dengan jaringan 4-0 untuk memastikan pasukan itu muncul juara sekali gus mengekalkan rekod kejayaan tiga tahun berturut-turut.
Sementara itu, Goleiro Terbaik bagi Kategori Veteran dimenangi oleh Awang Faizal Haji Murni dan Anugerah Pemain Terbaik diberikan kepada Awang Sahrin Momin, kedua-duanya daripada Pasukan KHEDN.
Kejohanan berkenaan menjadi medium dalam mengukuhkan hubungan silaturahim serta semangat berpasukan dalam kalangan warga perkhidmatan awam di samping memberi ruang kepada warga kementerian untuk mengilap potensi pemain dalam sukan futsal di samping menyemarakkan Sambutan HPA Ke-33.