Oleh : Nooratini Haji Abas
Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid, Muhammad Asri Awang Haji Abas, Mohammad Hasif Matzin
BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 3 November. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah mengalu-alukan keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Haitham bin Tarik, Sultan Oman ke Negara Brunei Darussalam (NBD) bagi Keberangkatan Negara pertama baginda.
Dalam titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam turut menyatakan bahawa keberangkatan tersebut merupakan satu detik bersejarah memandangkan ia merupakan keberangkatan pertama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Oman ke NBD.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia bertitah demikian pada Majlis Persantapan Diraja sempena Keberangkatan Negara Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Haitham bin Tarik, Sultan Oman serta rombongan ke NBD di Istana Nurul Iman.
Kebawah DYMM seterusnya bertitah mengimbas kembali keberangkatan Kebawah DYMM Sultan Oman ke NBD sebelum menaiki takhta Kesultanan Oman dan berharap agar hubungan persahabatan terjalin dengan mesra.
Dalam titah Kebawah DYMM juga mengiktiraf dedikasi peribadi Kebawah DYMM Sultan Oman dalam memperkukuh hubungan dua hala, termasuk melalui peranan baginda sebagai pengerusi bersama Bilateral Consultative Meeting pada 1993.
Tegas titah baginda lagi, kedua-dua kesultanan yang telah wujud sejak berkurun lamanya disatukan oleh ugama Islam serta nilai-nilai bersama, sekali gus mewujudkan hubungan yang lebih erat.
Kebawah DYMM selanjutnya bertitah mengimbas kenangan Al-Marhum Sultan Qaboos bin Said serta menzahirkan penghargaan atas sumbangan Al-Marhum terhadap hubungan rapat antara kedua-dua buah negara, dan berharap agar hubungan dua hala tersebut akan terus berkembang maju di bawah kepimpinan Sultan Oman yang sekarang.
Dalam pada itu, Kebawah DYMM juga bertitah menzahirkan harapan agar Kesultanan Oman mencapai Wawasan Oman 2040 (Oman Vision 2040) dan akan membawa kemakmuran dan kesejahteraan kepada rakyat Kesultanan Oman.
Menurut titah baginda lagi, peningkatan hubungan kepada Strategic Partnership memberikan hala tuju baharu kepada jalinan hubungan yang telah terjalin melebihi empat dekad.
Bahkan, Kebawah DYMM bertitah bahawa dengan melalui Oman Brunei Investment Company, beberapa kerjasama tercapai di bidang pendidikan dan kebudayaan dan dokumen - dokumen yang dimeterai pada hari ini akan membina asas dan menjana peluang kepada rakyat kedua-dua buah negara.
Kebawah DYMM dalam titah turut menzahirkan keyakinan bahawa generasi seterusnya dari NBD dan Kesultanan Oman akan terus membina hubungan berdasarkan keakraban, kepercayaan, dan persahabatan yang dikongsi oleh kedua-dua buah negara.
Pada masa yang sama, baginda juga bertitah menzahirkan penghargaan atas kebijaksanaan dan kepimpinan Sultan Oman dalam usaha mencapai keamanan di tengah-tengah situasi mencabar yang melanda rantau teluk pada masa ini untuk mengekalkan dialog demi keamanan dan kestabilan.
Sehubungan dengan itu, Kebawah DYMM bertitah menekankan bahawa keberangkatan Sultan Oman ke NBD telah mengukuhkan lagi ikatan persaudaraan antara kedua-dua buah negara dan menantikan peluang pada masa hadapan untuk bersua serta memajukan lagi hubungan antara kedua-dua buah negara kesultanan ini.