Berkenan menghoskan Majlis Persantapan Diraja

4 Nov 2026 - 6:39am

Oleh : Aimi Sani

Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid, Muhammad Asri Awang Haji Abas, Mohammad Hasif Matzin

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 3 November. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, malam tadi, berkenan menghoskan Majlis Persantapan Diraja sempena Keberangkatan Negara Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Haitham bin Tarik, Sultan Oman serta rombongan ke Negara Brunei Darussalam (NBD) dari 2 hingga 4 November 2026.

Terdahulu, paduka anakanda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM) selaku Wakil Peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berangkat bersama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Oman dari The Empire Brunei menuju ke Istana Nurul Iman.

Turut berangkat ke The Empire Brunei bagi mengalu - alukan Kebawah DYMM Sultan Oman ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri selaku Kerabat Pengiring.

Berangkat sama ke Majlis Persantapan Diraja tersebut ialah kerabat diraja. Berangkat mengiringi Kebawah DYMM Sultan Oman ialah His Highness Sayyid Shihab bin Tarik Al Said, Deputy Prime Minister for Defence Affairs. Juga hadir semasa majlis tersebut ialah rombongan rasmi Kesultanan Oman.

Majlis tersebut dimulakan dengan Doa Selamat yang dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Awang Haji Abdul Aziz bin Juned.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam seterusnya berkenan mengurniakan titah. Ini diikuti dengan titah balas daripada Kebawah DYMM Sultan Oman.

Pada titah balas, Kebawah DYMM Sultan Oman menegaskan semula hubungan persahabatan yang telah lama terjalin antara Kesultanan Oman dan NBD dengan pegangan agama Islam yang dianuti bersama, penghormatan terhadap tradisi serta komitmen untuk mengimbangi pemodenan dengan identiti kebangsaan.

Kebawah DYMM Sultan Oman dalam titah, mengimbau kembali keberangkatan baginda ke NBD pada tahun 2014 dan menzahirkan penghargaan terhadap layanan mesra yang diterima, warisan negara tersebut serta hubungan erat antara kedua-dua kerabat diraja dan rakyat kedua-dua buah negara.

Kebawah DYMM Sultan Oman turut memuji kepimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia serta kemajuan negara yang dicapai, sambil memelihara warisan budaya NBD.

Baginda seterusnya bertitah menyentuh mengenai perkembangan kerjasama dua hala sejak terjalinnya hubungan diplomatik, khususnya dalam bidang ekonomi dan pelaburan serta pendidikan dan kebudayaan.

Meninjau masa hadapan, Kebawah DYMM Sultan Oman bertitah menyeru agar interaksi antara generasi muda diperdalam serta menekankan tanggungjawab bersama kedua - dua negara untuk mempersiapkan rakyat masing-masing bagi menghadapi cabaran masa depan, dengan tetap berpegang teguh pada nilai-nilai teras masing-masing.

Akhir sekali, baginda menzahirkan penghargaan atas layanan baik NBD serta keyakinan terhadap masa depan hubungan antara Kesultanan Oman dan NBD.

Majlis Persantapan Diraja yang berlangsung di Istana Nurul Iman turut diserikan dengan beberapa persembahan yang dipersembahkan oleh orkestra terdiri daripada Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Pasukan Polis Diraja Brunei, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Jabatan Radio Televisyen Brunei dan Simfoni Belia Brunei.