Ukhuwah dalam kehidupan

4 Nov 2026 - 11:00am

UKHUWAH dalam Islam merujuk kepada ikatan persaudaraan rohani berasaskan keimanan kepada Allah Subhanahu Wata’ala yang menyatukan umat beriman dalam kasih sayang. Dalam ukhuwah ini merangkumi beberapa tingkatan seperti, Ukhuwah 'Ubudiyah adalah persaudaraan sesama hamba Allah Subhanahu Wata’ala. Ukhuwah Insaniyah (Basyariyah) bererti persaudaraan atas dasar kemanusiaan dan saling menghormati daripada usul yang sama. Ukhuwah Wathaniyah pula persaudaraan sebangsa dan setanah air merentasi perbezaan latar belakang. Ukhuwah Islamiah bermula dari persaudaraan khusus sesama Muslim atas dasar akidah.

Kepentingan dan adab ukhuwah ialah untuk membina hubungan yang diredai oleh Allah. Kekuatan ummah ini dalam menyatukan umat Islam agar kukuh seperti sebuah bangunan. Bangunan yang teguh dan kukuh bermula daripada asasnya. Tanpa asas yang teguh dan kukuh, bangunan tidak akan berdiri dengan baik. Begitu juga ukhuwah dalam menyatukan umat Islam bermula daripada hubungan yang baik. Kesempurnaan iman yang perlu ada dalam diri setiap insan ialah mengasihi saudara sepertimana diri sendiri. Tanpa kita kasih akan diri sendiri, kita tidak mampu mengasihi orang di sekeliling kita. Menjaga maruah memainkan peranan penting kerana menjaga maruah ini berasaskan tidak menzalimi dan melindungi kehormatan sesama Muslim.

Dalam Surah Al-Hujurat, ayat 10 antara lain makna terjemahannya, “Sesungguhnya orang-orang Mukmin adalah bersaudara. Kerana itu, damaikanlah kedua saudaramu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat”.

Semua orang Islam adalah bersaudara. Kerana itu jika bertengkar mereka harus bersatu kembali dan bersaudara seperti biasanya. Ukhuwah Islamiah seharusnya menjadi kekuatan dalam hidup beragama, sehingga menjadi sebuah suasana yang menyejukkan, bukan yang menebar kebencian.

Manakala dalam sebuah hadis pula, “Perumpamaan kaum mukmin dalam sikap saling mencintai, mengasihi dan menyayangi, seumpama tubuh, jika satu anggota tubuh sakit, maka anggota tubuh yang lain akan susah tidur atau merasakan demam”. (Hadis riwayat Muslim).

Marilah kita sama-sama menjaga ukhuwah kekeluargaan, persaudaraan, persahabatan. Jadikanlah khilaf kecil sebagai cara untuk memperbaiki bukan sebagai cara untuk mengeruhkan keadaan. Hati memainkan peranan penting dalam mencari perdamaian sesama insan. Sekian Sidang Pengarang buat keluaran kali ini – Ketua Penyuntingan (Fa)