Berangkat adakan Lawatan Rasmi ke Doha, Negara Qatar

9 Nov 2026 - 8:22am

Oleh : Muhamad Khairul Hisyam Haji Jaya

Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Mohammad Hasif Matzin

BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 8 November. – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM), dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah binti Pengiran Haji Salleh Ab. Rahaman hari ini berkenan berangkat ke Doha, Negara Qatar bagi mengadakan Lawatan Rasmi selama tiga hari bermula 8 hingga 10 November 2026 atas undangan His Highness Sheikh Abdullah bin Hamad Al-Thani, Timbalan Amir Negara Qatar.

Berangkat bersama Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah sepanjang Lawatan Rasmi berkenaan, Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah; Yang Teramat Mulia Pengiran Muda Muhammad Aiman; dan Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Faathimah Az-Zahraa' Raihaanul Bolkiah.

Sebelum berangkat, Doa Selamat dibacakan oleh Yang Dimuliakan Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman.

Berangkat dan hadir ke Hangar Penerbangan Kebawah Duli Yang Maha Mulia di Rimba bagi menyembahkan selamat berangkat Kehadapan Majlis Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota dan Yang Teramat Mulia ialah Yang Amat Mulia Pengiran Cheteria, Menteri-Menteri Kabinet, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Di-Raja, Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Pesuruhjaya Polis Pasukan Polis Diraja Brunei, serta Setiausaha-Setiausaha Tetap dari JPM, Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri, dan Kementerian Pendidikan berserta pasangan masing-masing.