Berangkat tiba di Doha, Negara Qatar

9 Nov 2026 - 8:25am

Siaran Akhbar : Jabatan Perdana Menteri

Foto : Mohamad Azmi Awang Haji Damit, Mohd. Sahrizal Haji Said

DOHA, QATAR, Ahad, 8 November. - Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah binti Pengiran Haji Salleh Ab. Rahaman hari ini berangkat tiba di Doha, Negara Qatar bagi Lawatan Rasmi selama tiga hari bermula pada 8 hingga 10 November 2026, atas undangan His Highness Sheikh Abdullah bin Hamad Al-Thani, Timbalan Amir Negara Qatar.

Berangkat mengiringi Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah sepanjang Lawatan Rasmi ini ialah Yang Teramat Mulia Pengiran Muda 'Abdul Muntaqim; Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah; Yang Teramat Mulia Pengiran Muda Muhammad Aiman; dan Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Faathimah Az-Zahraa' Raihaanul Bolkiah.

Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota dan Yang Teramat Mulia di Lapangan Terbang Antarabangsa Doha dijunjung oleh Vice Chair of the Board of Trustees of Qatar Museums, Tuan Yang Terutama Sheikh Thani bin Hamad bin Khalifa Al-Thani dan Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Qatar ke Negara Brunei Darussalam (NBD), Tuan Yang Terutama Abdulla Hamad A. A. Al-Marri.

Duli Yang Teramat Mulia dan Yang Teramat Mulia berjalan melintasi barisan kawalan kehormatan statik dan menyusuri permaidani merah sebelum menaiki motorkad rasmi.

Juga berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Doha ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak NBD ke Negara Qatar, Tuan Yang Terutama Mohamed Bahrin bin Abu Bakar.