KADANGKALA kita terlalu sibuk melihat apa yang belum kita miliki sehingga terlupa untuk mensyukuri apa yang telah Allah berikan. Kita mengejar dunia tanpa henti, sedangkan begitu banyak nikmat yang sebenarnya telah berada di hadapan mata. Kita masih mampu bernafas, berjalan, melihat, mendengar, tersenyum dan beribadah, semuanya adalah nikmat daripada Allah Taala.
Syukur bukan sekadar mengucapkan Alhamdulillah di bibir. Syukur yang sebenar ialah mengakui bahawa segala yang kita miliki datang daripada Allah, kemudian menggunakan nikmat tersebut pada jalan yang diredai-Nya. Jika diberikan harta, gunakanlah untuk kebaikan. Jika diberikan ilmu, sebarkanlah manfaat. Jika diberikan kesihatan, gunakanlah untuk beribadah. Jika diberikan keluarga, sayangilah dan jagalah mereka dengan sebaik-baiknya.
Sesungguhnya syukur kepada Allah Subhanahu Wata’ala itu sangat luas, syukur bukan sekadar diungkapkan pada lisan tetapi bermula daripada hati yang mengakui bahawa setiap nikmat ialah kurniaan Allah Subhanahu Wata’ala lalu dibuktikan melalui ketaatan. Syukur boleh dizahirkan dalam pelbagai bentuk ketaatan dan amalan harian kita, antaranya, bersyukur dengan hati, bersyukur dengan lisan dan bersyukur dengan perbuatan.
Ketahuilah bahawa kehidupan tidak selamanya mudah. Ada masa kita diuji dengan kesusahan, kehilangan, kekecewaan dan kesedihan. Namun, seorang mukmin sentiasa berusaha mencari hikmah di sebalik setiap ketentuan Allah. Ketika mendapat nikmat, dia bersyukur. Ketika diuji, dia bersabar. Dalam kedua-dua keadaan, hatinya tetap bergantung kepada Allah.
Janganlah kita menjadi insan yang lupa diri, apatah lagi bersifat sombong dan bongkak hingga berat untuk mengucapkan terima kasih. Sesungguhnya berterima kasih adalah cerminan hati orang yang bersyukur dan jiwa yang tahu mengenang budi.
Maka, marilah kita belajar untuk menghargai setiap perkara kecil yang Allah hadirkan dalam kehidupan kita. Jangan menunggu kehilangan sesuatu untuk menyedari betapa berharganya nikmat tersebut. Hargailah ibu bapa selagi mereka masih ada. Sayangilah keluarga selagi diberi kesempatan. Jagalah kesihatan sebelum datangnya sakit. Gunakan masa sebelum ia berlalu. Dan dekatkanlah diri kepada Allah sebelum datang saat kita tidak lagi mempunyai kesempatan.
Semoga hati kita sentiasa dipenuhi rasa syukur, bukan hanya ketika menerima apa yang kita inginkan, tetapi juga ketika Allah menentukan sesuatu yang berbeza daripada apa yang kita harapkan.
Sama-samalah kita berdoa mudah-mudahan raja kita, diri kita, ahli keluarga kita serta seluruh rakyat dan penduduk negara ini mendapat rahmat dan perlindungan Allah Subhanahu Wata’ala dan selamat dari segala wabak penyakit dan segala mara bahaya. Amin Ya Rabbal Alamin. – Ketua Penyuntingan (Ad)