RAKYAT di Negara Brunei Darussalam menyedari kepentingan pertanian, penternakan dan juga pertanian untuk keterjaminan makanan dan prospek sektor ini dalam dekad seterusnya dilihat positif meskipun menghadapi pelbagai cabaran.
Setakat ini jumlah pengusaha yang berkecimpung dalam industri pertanian dan perikanan adalah sebanyak lebih kurang 7,000 pengusaha, lebih kurang 100 pengusaha dari keseluruhan jumlah tersebut adalah golongan dari belia.
Pelbagai faktor telah dikenal pasti yang menyumbang kepada persepsi negatif generasi muda terhadap pertanian terutama aktiviti pertanian tradisional yang sering dianggap membosankan dan kurang menarik. Pandangan ini diperkuatkan lagi oleh cara pertanian lama yang diwarisi generasi terdahulu, menjadikan sektor ini dilihat berstatus rendah dalam kalangan belia. Walau bagaimanapun, terdapat potensi besar untuk mengubah pandangan belia terhadap industri pertanian melalui pendekatan yang lebih inovatif dan relevan. Pertanian moden yang menggunakan teknologi terkini seperti pertanian pintar, automasi dan inovasi hijau, boleh menjadi faktor penarik kepada generasi muda yang cenderung memilih kerjaya berteknologi tinggi dan dinamik.
Tetapi pada hari ini, kita melihat belia-belia pada masa ini tidak segan-silu untuk turun tangan berkecimpung dalam dunia pertanian, penternakan dan perikanan. Ini mungkin mereka sudah dapat menilai potensi yang ada dalam bidang-bidang tersebut dapat meningkatkan taraf hidup malah boleh membantu belia lain jika sudah berjaya dan bertapak teguh dalam bidang-bidang tersebut. Kebolehan para belia untuk meneroka peluang dalam pertanian, penternakan dan perikanan akan lebih bermakna dengan adanya kepakaran dalam bidang teknologi untuk menjadikan bidang tersebut lebih canggih dan produktif.
Dengan adanya usaha menjadikan sektor pertanian lebih menarik kepada generasi muda yang celik teknologi serta berpotensi dapat meningkatkan kapasiti pengeluaran secara lebih efisien untuk memenuhi keperluan tempatan dan pasaran eksport dan menarik lebih ramai lagi belia-belia untuk berkecimpung dalam dunia pertanian, penternakan dan perikanan walaupun tidak bekerja di bilik yang berhawa dingin.
Pengusaha-pengusaha yang ada pada masa ini juga memainkan peranan penting dalam memupuk minat anak-anak mereka untuk meneruskan usaha berkecimpung dalam bidang pertanian, perikanan dan penternakan. Justeru kejayaan dalam bidang ini dapat menyuntik semangat mereka untuk berbakti kepada bumi seperti yang dibuat oleh orang tua mereka.
Apa yang penting berbakti kepada bumi sekurang-kurangnya menukar persepsi dan mentaliti anak muda. Setentunya apa yang diusahakan dapat menyara kehidupan diri sendiri, keluarga dan sekali gus membantu ekonomi negara. Berbakti kepada tanah memang memuaskan jika mendatangkan hasil produktiviti yang lumayan.
Bagi memastikan kelestarian dunia pertanian, penternakan dan perikanan di negara ini terus berkembang, pelbagai usaha yang dibuat oleh pihak kerajaan serta sokongan rakyat akan dapat meningkatkan ekonomi negara tanpa bergantung kepada negara lain. - Ketua Penyuntingan (Ri)