Amanah sumbangan besar kepada kemajuan negara

7 Nov 2026 - 8:30am

SEORANG pekerja khususnya penjawat awam hendaklah berusaha melaksanakan tugas yang diberikan dengan baik dan sempurna, bersungguh-sungguh, mempunyai rasa tanggungjawab, menunjukkan komitmen, tidak membebankan orang lain dan menyebabkan tugasan yang diberikan dengan amanah dan tepat pada waktunya.

Justeru, kita perlu menterjemahkan amanah secara praktikal dalam pekerjaan. Antaranya amanah pada masa dan tugas yang diberikan, amanah pada harta, data yang dipertanggungjawabkan, amanah dalam perolehan dan kewangan, amanah dalam mengurus konflik kepentingan, amanah pada layanan, amanah dalam membuat keputusan dan sebagainya.

Jika sifat amanah itu telah tertanam subur di dalam diri kita, insyaaAllah tidak akan timbul masalah rasuah, penyelewengan, curi masa, curi tulang, melaksanakan kerja kurang berkualiti, cuai dan sambil lewa sahaja. Maka di sini jelaslah bahawa sifat amanah itu diibaratkan sebagai anak kunci kejayaan kepada sesuatu organisasi, syarikat, jabatan dan kementerian. Inilah sumbangan besar kita kepada kemajuan negara dan kesejahteraan rakyat, seiring hala tuju pembangunan negara yang menekankan integrasi, kecemerlangan dan kesejahteraan sosial.

Sepertimana titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada Majlis Kemuncak Sambutan Hari Perkhidmatan Awam (HPA) Ke-33, “Dalam dunia yang semakin terbuka, kedaulatan sesebuah negara tidak lagi diukur berdasarkan pertahanan fizikal tetapi melalui kekuatan dan keberkesanan pentadbirannya. Oleh itu, Perkhidmatan Awam diibaratkan sebagai benteng kedaulatan.

“Ini kerana, apabila seorang penjawat awam menjalankan tugas dengan jujur dan adil, maka bermakna dia mempertahankan kedaulatan negara dari ancaman rasuah, penyalahgunaan kuasa dan keruntuhan institusi”.

Mencari rezeki atau bekerja bukanlah sekadar rutin harian, bahkan merupakan amanah dan tanggungjawab, sama ada seseorang itu bekerja sendiri, di sektor awam mahupun si sektor swasta. Dalam dunia pekerjaan masa kini, kejayaan sesebuah organisasi tidak seharusnya diukur semata-mata melalui pencapaian sasaran hasil, produktiviti dan keuntungan semata-mata, tetapi juga melalui nilai, akhlak sera budaya kerja yang diamalkan oleh warganya.

Marilah kita sama-sama berdoa semoga kita semua, sama ada yang bekerja dengan Perkhidmatan Awam ataupun yang bekerja dengan pihak swasta agar sentiasa melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan amanah. Mudah-mudahan segala pekerjaan yang kita lakukan itu mendapat ganjaran pahala, berkat dan rahmat yang berterusan daripada Allah Subhanahu Wata’ala. – Ketua Penyuntingan (Ad)