BERTAKWALAH kita ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala dengan sebenar-benar takwa iaitu dengan meningkatkan keimanan kepada-Nya. Sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi Allah Subhanahu Wata’ala itu ialah orang yang paling bertakwa. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang sentiasa mengingati Allah Subhanahu Wata’ala, beroleh kejayaan dan keselamatan di dunia dan juga di akhirat.
Alhamdulillah, segala puji dan syukur dipanjatkan ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala yang telah mengurniakan kepada kita pelbagai nikmat yang tidak terhitung banyaknya. Dialah yang mengurniakan akal yang waras untuk berfikir, anggota badan yang sihat untuk beribadah dan tenaga yang kuat untuk berusaha mencari rezeki yang halal lagi baik.
Sesungguhnya syukur kepada Allah Subhanahu Wata’ala itu sangat luas, syukur bukan sekadar diungkapkan pada lisan tetapi bermula daripada hati yang mengakui bahawa setiap nikmat ialah kurniaan Allah Subhanahu Wata’ala lalu dibuktikan melalui ketaatan. Syukur boleh dizahirkan dalam pelbagai bentuk ketaatan dan amalan harian kita, antaranya : bersyukur dengan hati, bersyukur dengan lisan dan bersyukur dengan perbuatan.
Antara kelebihan dan manfaat orang yang bersyukur berdasarkan Al-Quran dan hadis-hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam ialah :
Pertama : Dikurniakan nikmat dan rezeki yang berlipat ganda.
Kedua : Orang-orang yang bersyukur dan beriman akan terpelihara daripada azab dan seksa Allah Subhanahu Wata’ala.
Ketiga : Dijanjikan ganjaran pahala.
Janganlah kita menjadi insan yang lupa diri, apatah lagi bersifat sombong dan bongkak hingga berat untuk mengucapkan terima kasih. Sesungguhnya berterima kasih adalah cerminan hati orang yang bersyukur dan jiwa yang tahu mengenang budi.
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam telah mengajarkan satu doa yang indah dalam hadis Baginda, sebagaimana panduan untuk membentuk jiwa yang sentiasa bersyukur, merendah diri dan bergantung sepenuhnya kepada Allah Subhanahu Wata’ala. Daripada Abdullah bin Abbas Radiallahuanha bahawa Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam sering berdoa :
Ertinya : “Ya Allah, jadikanlah aku hamba yang bersyukur kepada-Mu, yang sentiasa mengingati-Mu, yang takut kepada-Mu, yang taat kepada-Mu, yang tunduk dan kembali bertaubat kepada-Mu. Ya Tuhanku, terimalah taubatku, hapuskan dosaku, perkenankanlah doaku, teguhkanlah hujahku, tunjukilah hatiku, perelokkanlah lisanku (ucapan) dan hilangkanlah segala perasaan dendam dan kedengkian daripada hatiku”. (Hadis Riwayat Abu Daud)
Marilah kita sentiasa mensyukuri nikmat dan kurniaan Allah Subhanahu Wata’ala bukan sekadar dengan kata-kata sahaja, akan tetapi dengan menggunakan nikmat itu di jalan yang Allah Subhanahu Wata’ala redai. Mudah-mudahan dengan demikian, kita tergolong dalam kalangan orang-orang yang sentiasa mensyukuri nikmat, istiqamah dalam ketaatan dan beroleh kemuliaan di sisi Allah Subhanahu Wata’ala. Amin Ya Rabbal Alamin.
Tafsirnya : “Tiadalah Allah akan menyeksa kamu sekiranya kamu bersyukur dan beriman. Dan Allah adalah sentiasa membalas dengan sebaik-baiknya lagi Maha Mengetahui (orang-orang yang bersyukur kepada-Nya)”. (Surah An-Nisa, ayat 147)