Bijak bermuamalat dalam dunia digital

7 Nov 2026 - 8:31am

BERTAKWALAH kita ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala dengan sebenar-benar takwa iaitu dengan meningkatkan keimanan kepada-Nya. Sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi Allah Subhanahu Wata’ala itu ialah orang yang paling bertakwa. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang sentiasa mengingati Allah Subhanahu Wata’ala, beroleh kejayaan dan keselamatan di dunia dan juga di akhirat.

Kehidupan tidak pernah lepas daripada memikul tanggungjawab, yang menuntut agar kita terus berusaha, berikhtiar dan bersabar bagi memenuhi keperluan sara hidup yang semakin mencabar. Atas dasar itulah, Islam menuntut kita mencari rezeki yang halal lagi baik, termasuk melalui lapangan perniagaan. Dalam urusan muamalat dan jual beli, kita wajib berlaku jujur dan amanah serta menjauhkan diri daripada segala bentuk penipuan, manipulasi atau penyelewengan yang boleh menzalimi orang lain.

Ketahuilah bahawa, kejayaan dalam perniagaan bukan hanya pada banyaknya keuntungan tetapi pada rezeki yang halal dan diberkati Allah Subhanahu Wata’ala. Oleh itu, berniagalah dengan jujur dan amanah. Daripada Abu Said Al-Khudri Radiallahuanhu, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda :

Maksudnya : “Peniaga yang jujur lagi amanah itu, akan bersama para nabi, sidiqin dan para syuhada”. (Hadis Riwayat Imam Tirmizi)

Hadis tersebut menunjukkan betapa mulianya kedudukan peniaga yang mengamalkan sikap jujur dan amanah dalam urusan mereka. Hasil keuntungan yang diperoleh melalui jalan yang benar bukan sahaja membawa manfaat di dunia, malah menjadi saham yang menyelamatkan kita di akhirat kelak.

Antara bentuk penipuan, manipulasi atau penyelewengan dalam perniagaan ialah menyembunyikan kecacatan barang, menipu sukatan dan timbangan serta memberikan maklumat palsu demi mengaut keuntungan. Janganlah kerana mengejar keuntungan, kita sanggup mengambil hak orang lain dengan cara yang salah.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Abu Hurairah Radiallahuanhu, bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam telah memberi peringatan keras terhadap perbuatan menipu melalui sabda Baginda :

Maksudnya : “Barang siapa yang menipu, maka dia bukan daripada golonganku”.

Sesungguhnya perkembangan teknologi telah memudahkan pelbagai urusan kehidupan, termasuklah dalam urusan muamalat dan transaksi jual beli serta urusan pembayaran dan pelaburan yang kini boleh dilakukan dengan mudah dan begitu pantas hanya melalui telefon pintar.

Namun, realitinya kemudahan ini juga dapat dieksploitasi oleh penjenayah siber sehingga membuka ruang kepada pelbagai bentuk penipuan, manipulasi atau penyelewengan khususnya dalam urusan muamalat digital dan jual beli dalam talian. Ada pihak yang tidak bertanggungjawab tergamak menggunakan gambar dan maklumat palsu, bahkan teknologi seperti deepfake untuk menyamar sebagai orang kenamaan atau selebriti bagi memperdaya orang ramai demi mendapatkan keuntungan. Oleh itu, kita hendaklah sentiasa berhati-hati dan tidak mudah percaya dengan setiap tawaran, maklumat atau individu yang ditemui dalam talian.

Autoriti Industri Teknologi Infokomunikasi Brunei Darussalam (AITI) melalui inisiatif Waspada.BN mengingatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada terhadap penipuan dalam talian. Amalkan sikap tabayyun dengan menyemak kesahihan setiap maklumat dan tawaran melalui saluran rasmi sebelum membuat sebarang transaksi.

Jangan mudah terpedaya dengan tawaran lumayan atau mencurigakan. Elakkan menekan pautan yang tidak diketahui, jangan berkongsi maklumat peribadi dan jangan memindahkan wang tanpa membuat pengesahan terlebih dahulu. Ingatlah, semak sebelum percaya, fikir sebelum bertindak. Sikap berhati-hati dapat melindungi diri, keluarga dan harta daripada menjadi mangsa penipuan.

Sekiranya terjadi penipuan, segeralah laporkan kepada pihak berkuasa termasuk melalui Talian Bantuan Anti-Scam Pasukan Polis Diraja Brunei supaya tindakan dapat diambil dengan segera dan kerugian dapat dikurangkan.

Demikian juga, janganlah sekali-kali menjual, menyewakan atau meminjamkan akaun bank kita kepada pihak lain. Perbuatan itu boleh menjadikan kita pembantu kepada sindiket penipuan, sedangkan Allah Subhanahu Wata’ala telah melarang kita daripada bertolong-tolongan dalam perbuatan dosa dan permusuhan, sebagaimana firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam Surah Al-Maidah, ayat 2 :

Tafsirnya : “Dan janganlah tolong- menolong dalam dosa dan permusuhan (melanggar hukum-hukum Allah)...”.

Begitu juga sebagai peniaga, kita hendaklah sentiasa bersikap jujur, amanah dan bertanggungjawab dalam setiap urusan perniagaan. Jangan sesekali mengambil kesempatan atas kelemahan orang lain melalui sebarang bentuk penipuan, manipulasi, mahupun penyelewengan demi meraih keuntungan semata-mata. Sesungguhnya keuntungan yang diperoleh melalui jalan yang tidak halal dan menipu bukan sahaja boleh mengakibatkan kehilangan kepercayaan pelanggan. Daripada Abu Hurairah Radiallahuanhu beliau berkata : Aku mendengar Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda :

Maksudnya : “Sumpah (palsu) itu melariskan barang jualan tetapi memusnahkan keberkatan rezeki (perniagaan)”. (Hadis Riwayat Imam Muslim)

Sesungguhnya sumber rezeki yang diperoleh melalui jalan yang haram mungkin membawa keuntungan sementara, namun hakikatnya ia menghilangkan keberkatan, merosakkan kehidupan serta membawa penyesalan dan azab di akhirat kelak.

Oleh itu, marilah kita sama-sama mengamalkan sikap jujur, amanah dan bertanggungjawab dalam setiap urusan muamalat, khususnya dalam dunia digital masa kini, peliharalah diri dan keluarga kita agar sumber rezeki yang dibawa balik ke rumah itu sentiasa halal dan diberkati oleh Allah Subhanahu Wata’ala. Semoga kita tergolong dalam kalangan hamba-Nya yang sentiasa menjaga kejujuran serta dikurniakan rezeki yang halal lagi baik. Amin Ya Rabbal Alamin.

Tafsirnya : “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu saling memakan harta sesama kamu dengan jalan yang batil (seperi makan riba, merampas, menipu dan berjudi) kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu. Dan janganlah membunuh diri kamu sendiri (atau membunuh orang lain). Sesungguhnya Allah Maha Pengasih terhadap kamu”. (Surah An-Nisa, ayat 29)