Syabab Prihatin pupuk jiwa tanggungjawab sosial belia

29 Jul 2026 - 11:46am

Rencana dan Foto : Nurdiyanah Rajami

BUDAYA khidmat masyarakat amat mustahak diperkasakan dalam kehidupan bermasyarakat termasuklah golongan belia dengan sebaik-baiknya agar mereka mampu menjadi insan-insan penerus bangsa yang bertanggungjawab dalam melaksanakan amanah, tidak kira berupa tenaga, buah fikiran, mahupun wang ringgit dengan penuh keikhlasan demi mencapai kesejahteraan, keharmonian serta kemakmuran negara dari semasa ke semasa.

Peri mustahaknya penerapan semangat khidmat masyarakat yang merujuk kepada nilai kesukarelawanan, tanggungjawab sosial dan perpaduan dalam membantu komuniti tanpa mengira latar belakang ini sememangnya mampu menjadi pemangkin kepada pembentukan masyarakat yang berdaya tahan, prihatin dan lestari, sejajar dengan aspirasi Negara Brunei Darussalam (NBD) serta tuntutan agama Islam.

Misi Program Syabab Prihatin

Sehubungan itu, baru-baru ini Kumpulan Belia Masjid Syababul Iman Masjid Sultan Sharif Ali (MSSA) Kampung Sengkurong tidak ketinggalan berganding bahu memupuk dan membimbing golongan belia menghayati nilai-nilai Islam melalui penglibatan dalam aktiviti khidmat masyarakat dan kesukarelawanan menerusi sebuah program khidmat masyarakat ‘Syabab Prihatin : Food for Unsung Heroes’.

Seramai 15 peserta dalam lingkungan usia 17 hingga 25 tahun turut sama menjayakan program yang diadakan di The Shared Kitchen, di Pusat Belia, ibu negara, bermula dari jam 6.00 pagi hingga 11.30 pagi.

Ketika ditemu bual Pelita Brunei, Ketua Beliawanis Kumpulan Belia Masjid Syababul Iman MSSA Kampung Sengkurong, Dayang Siti Nurnadiatul Syahirah binti Mohammad Sumadi menjelaskan program berkenaan merupakan penganjuran kali ke-15 bagi inisiatif di bawah program khidmat masyarakat ‘Syabab Prihatin’, di samping menjadi siri keenam dalam program pembangunan belia ‘The Journey Back to Allah’, yang bertujuan membimbing para belia menghayati nilai-nilai Islam melalui penglibatan dalam aktiviti khidmat masyarakat dan kesukarelawanan. Program ini turut dijayakan dengan kerjasama Ahli Jawatankuasa Kumpulan Belia Masjid Syababul Iman MSSA Kampung Sengkurong yang mengurus dan menyelaras serta memantau perjalanan program bersama para peserta belia yang terlibat.

“Sepanjang program berlangsung, para peserta telah mengikuti beberapa pengisian yang merangkumi sesi taklimat ringkas, aktiviti gotong-royong memasak, penyediaan serta pembungkusan makanan dan minuman, diikuti dengan penghantaran sumbangan kepada golongan sasaran.

“Melalui usaha bersama para sukarelawan, kira-kira 100 pek makanan dan minuman berjaya disediakan dan diagihkan kepada golongan pekerja operasi serta petugas barisan hadapan seperti atendan stesen minyak, pekerja pembersihan, buruh kasar, pengawal keselamatan, anggota polis dan anggota bomba yang sedang menjalankan tugas,” jelas beliau.

Dayang Siti Nurnadiatul Syahirah turut menambah setiap pek sumbangan mengandungi hidangan Nasi Goreng Kampung, Ayam Goreng, Roti John dan juga air minuman manisan. Agihan sumbangan telah dilaksanakan di beberapa kawasan sekitar Bandar Seri Begawan, Mabohai, Gadong, Tumasek dan Beribi. Ini sebagai tanda penghargaan dan sokongan kepada mereka yang terus berkhidmat demi kesejahteraan masyarakat.

Hargai jasa pekerja barisan hadapan

Sementara itu, Ketua Media Kumpulan Belia Masjid Syababul Iman MSSA Kampung Sengkurong, Dayang Norsafina binti Awang Adi semasa ditemu bual Pelita Brunei turut menjelaskan bahawa penganjuran program berkenaan sememangnya bertujuan menyemai nilai keprihatinan, empati dan tanggungjawab sosial dalam kalangan belia, di samping menggalakkan budaya kesukarelawanan, gotong-royong serta penghargaan terhadap individu-individu yang banyak menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat tetapi sering berada di sebalik tabir.

“Tema ‘Food for Unsung Heroes’ dipilih sebagai simbol penghargaan kepada golongan pekerja yang memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran kehidupan seharian masyarakat. Walaupun jasa mereka jarang mendapat perhatian umum, sumbangan mereka amat besar dan wajar dihargai,” ujarnya.

Mewakili ahli kumpulan belia berkenaan, beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua penyumbang, rakan kerjasama dan sukarelawan yang telah menghulurkan sumbangan sama ada dalam bentuk kewangan, barangan mahupun tenaga sehingga program tersebut dapat dilaksanakan dengan jayanya.

“Semoga segala usaha dan sumbangan yang diberikan menjadi amal kebajikan yang diterima serta memberi inspirasi kepada lebih ramai belia negara kita untuk terus berbakti kepada agama, masyarakat dan negara,” luahnya penuh harapan tulus.

Melahirkan generasi belia rabbani

Kumpulan Belia Masjid Syababul Iman merupakan kumpulan belia masjid yang bernaung di bawah MSSA Kampung Sengkurong dan ditubuhkan secara rasmi pada 23 Mac 2012.

Matlamat kumpulan ini adalah untuk melahirkan generasi belia rabbani yang berakhlak mulia, berilmu dan berpegang teguh kepada ajaran Al-Quran dan As-Sunnah, untuk melahirkan pemimpin-pemimpin yang akan dapat memberi manfaat kepada agama, bangsa dan negara. Di samping itu, untuk melahirkan golongan belia yang sentiasa mengimarahkan masjid dengan aktiviti-aktiviti yang membangun jiwa dan minda seperti mana fungsi masjid yang terdapat di zaman Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.

Sepanjang penubuhannya, kumpulan ini telah menganjurkan pelbagai program, antaranya Kembara Ukhuwah; Run & Ride 4 Humanity; BruAksi; Karnival Cinta Masjid; Program Tahunan ‘Zero to Hero, Journey of a Muslim’; Aktiviti Kemasyarakatan ‘Syabab Prihatin’; Hijrah Walk; majlis-majlis ilmu seperti ‘BePro’, ‘Youth Protection Series’, Bicara An-Nisa, Mihrab CintaNya, Qiyamullail Bulanan, dan sebagainya. Secara keseluruhannya, kumpulan ini dianggotai oleh 31 orang ahli jawatankuasa yang berperanan dalam merealisasikan visi dan objektif organisasi.

Ends….