APABILA kita menyebut transformasi Perkhidmatan Awam, kita mungkin terus membayangkan kemajuan teknologi digital, kecerdasan buatan, inovasi, sistem terkini, proses kerja yang lebih pantas dan organisasi yang lebih cekap. Tidak dinafikan semua itu sememangnya penting.
Tetapi dalam perspektif Islam, transformasi yang paling besar bukan bermula daripada kecanggihan teknologi semata-mata. Transformasi sebenar bermula daripada manusia itu sendiri.
Perkhidmatan Awam bukan sekadar transformasi sistem, tetapi transformasi jiwa dan nawaitu kita.
Terdapat tujuh transformasi utama yang perlu dimiliki oleh setiap penjawat awam dalam melaksanakan tugas serta amanah yang dipertanggungjawabkan.
Pertama : Perkhidmatan Awam adalah amanah
Allah Subhanahu Wata'ala berfirman :
"Sesungguhnya Allah memerintahkan kamu supaya menyerahkan segala amanah kepada yang berhak menerimanya dan apabila kamu menjalankan hukum antara manusia, hendaklah kamu menghukum dengan adil".
(Surah An Nisaa' : 58)
Ayat ini memberikan asas yang sangat kukuh kepada Perkhidmatan Awam bahawa :
Jawatan adalah amanah.
Kuasa adalah amanah.
Masa bekerja adalah amanah.
Dana kerajaan adalah amanah.
Maklumat kerajaan adalah amanah.
Dan setiap keputusan yang kita buat yang memberi kesan kepada kehidupan rakyat dan masyarakat juga merupakan amanah.
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam pula bersabda, yang bermaksud :
"Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan dipertanggungjawabkan terhadap orang yang berada di bawah tanggungannya".
(Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Hadis ini mengajar kita bahawa kepimpinan Perkhidmatan Awam bukan hanya milik orang yang berada di puncak organisasi.
Setiap kita adalah pemimpin dalam ruang amanah masing-masing.
Ketua jabatan adalah pemimpin.
Ketua bahagian adalah pemimpin.
Pegawai adalah pemimpin.
Kakitangan adalah pemimpin.
Bahkan, pekerja pembersihan juga memainkan peranan kepimpinan kerana kebersihan yang dijaga mencerminkan imej dan keprihatinan kerajaan, manakala kecuaian boleh menjejaskan persepsi masyarakat terhadap mutu Perkhidmatan Awam.
Sebab itu, penjawat awam yang transformatif tidak akan bertanya :
"Apa yang saya dapat daripada jawatan ini?"
Sebaliknya dia berkata :
"Apa yang boleh dan patut saya sumbangkan melalui jawatan ini?"
Kedua : Menjunjung kepimpinan raja dengan ketaatan dan kesungguhan
Allah Subhanahu Wata'ala berfirman, yang bermaksud :
"Wahai orang-orang yang beriman! Taatilah Allah dan taatilah Rasul dan orang-orang yang memegang kuasa antara kamu".
(Surah An Nisaa' : 59)
Islam mengajar umatnya supaya menghormati dan mentaati kepimpinan dalam perkara yang makruf. Kerana itulah, mendoakan raja dan pemimpin agar dikurniakan keadilan, kebijaksanaan serta petunjuk Allah adalah merupakan satu kewajipan setiap lapisan rakyat.
Fudhail bin 'Iyadh Rahimahullah pernah menyatakan, yang bermaksud :
''Sekiranya aku mempunyai satu doa yang mustajab, nescaya aku akan menjadikannya doa khusus untuk pemerintah''.
Dalam konteks Negara Brunei Darussalam, kepimpinan raja bukan sekadar ketua pentadbiran negara. Ia merupakan satu institusi yang mempunyai kedudukan yang sangat penting dalam ristaan sejarah, budaya dan kehidupan bernegara.
Namun, persoalannya yang harus dijawab bersama ialah :
Bagaimanakah kita benar-benar menjunjung kepimpinan raja?
Adakah cukup dengan kata-kata?
Adakah cukup dengan slogan?
Adakah cukup dengan menghadiri majlis-majlis rasmi?
Ya diakui semua itu ada nilainya.
Tetapi bukti kesetiaan yang paling nyata ialah kecemerlangan prestasi dan amanah dalam setiap tugasan.
Jika kita ingin menjunjung kepimpinan raja, maka kita mesti memastikan :
Apabila disebut integriti - Kita menjadi penjawat awam yang bertanggungjawab.
Apabila dsebut transformasi - Kita menjadi pencetus perubahan.
Jika ditekankan kesejahteraan rakyat dan masyarakat - Kita memudahkan urusan mereka.
Jika diperingatkan kemajuan negara - Kita tingkatkan produktiviti.
Jika ditekankan nilai-nilai Melayu Islam Beraja - Kita menerapkannya dalam budaya kerja.
Dengan kata lain :
Titah dan dasar kepimpinan raja perlu diterjemahkan melalui tindakan.
Kerana kepimpinan hanya akan menjadi lebih kuat apabila seluruh jentera Perkhidmatan Awam bergerak dalam satu pasukan, satu tujuan dan satu kesetiaan.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam titah baginda sempena Sambutan Hari Perkhidmatan Awam 2025 antara lainnya mengingatkan kita tentang pentingnya setiap penjawat awam mesti tangkas dalam melaksanakan tugas, dan juga perlu memahami objektif sebenar kita berkhidmat untuk bangsa dan negara. Baginda tidak mahu sebarang kepincangan berlaku dalam Perkhidmatan Awam negara.
Oleh itu kita memerlukan penjawat awam yang :
Cekap juga beradab,
Pintar juga amanah,
Berani tetapi berhikmah,
Inovatif tetapi berpegang kukuh mendukung kepimpinan raja.
Ketiga : Perkhidmatan Awam adalah kepercayaan, bukan keistimewaan
Perlu kita fahami jawatan Perkhidmatan Awam yang kita pikul bukanlah satu tashrif (kemuliaan) tetapi ianya adalah taklif (khidmat dan beban). Ini jelas sebagaimana kita melihat dalam contoh para sahabat melihat jawatan dalam Perkhidmatan Awam sebagai amanah yang harus dipikul dengan rasa takut kepada Allah.
Mereka tidak melihat jawatan sebagai peluang untuk menikmati kemewahan.
Sebaliknya, mereka melihatnya sebagai beban yang akan dipersoalkan di hadapan Allah.
Lihatlah betapa hebatnya Saidina Umar bin Al-Khattab Radiallahuanhu.
Diriwayatkan pada suatu malam, Ketika beliau berjalan dan menemui sebuah keluarga yang kelaparan. Beliau mendapati seorang ibu sedang memasak, sedangkan periuk itu hanya berisi air dan beberapa biji batu. Manakala anak-anaknya menangis kerana kelaparan.
Apabila Umar Al-Khattab mengetahui keadaan tersebut, beliau sendiri pergi mengambil makanan dari Baitulmal dan memikulnya.
Lalu ketika seseorang menawarkan diri untuk membawanya, Umar Al-Khattab berkata, yang bermaksud :
"Adakah engkau akan memikul dosaku kelak pada Hari Kiamat?"
Subhanallah, Perhatikan jiwa Umar Al-Khattab sebagai penjawat awam.
Beliau tidak berkata : "Itu tugas pegawai bawahan".
Beliau tidak berkata : "Esok kita adakan mesyuarat".
Beliau tidak berkata : "Sila hantar surat permohonan rasmi".
Tetapi beliau melihat masalah rakyat dan masyarakat serta merasakan : "Ini tanggungjawab saya".
Inilah jiwa kepimpinan penjawat awam yang perlu kita hidupkan dalam menyumbang perkhidmatan. Kita mungkin tidak memikul guni makanan seperti Umar Radiaalluhanhu.
Tetapi kita memikul : Dasar kerajaan, fail permohonan, dana awam, projek pembangunan dan akhirnya, kita memikul harapan raja dan rakyat jelata.