Oleh: Nurul Rasyidah Mohamad Rosland dengan kerjasama Jabatan Muzium-Muzium
Foto : Nurul Rasyidah Mohamad Rosland, Ihsan Jabatan Muzium-Muzium
MUZIUM Maritim Brunei Darussalam (MMBD) merupakan sebuah institusi yang berperanan memelihara dan mempamerkan sejarah maritim negara, termasuk peninggalan artifak serta warisan pertukangan maritim dari pelbagai era. Muzium ini juga merupakan antara pencapaian penting dalam bidang arkeologi maritim negara kerana berfungsi sebagai pusat pemuliharaan, penyelidikan dan pameran yang mengetengahkan warisan maritim serta penemuan arkeologi berkaitan sejarah perdagangan dan pelayaran Brunei.
MMBD terletak di Kota Batu dan telah dirasmikan oleh Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah pada 23 Mac 2015.
Muzium ini dibangunkan di bawah Rancangan Kemajuan Negara (RKN) Ke-10 di atas kawasan seluas 3.53 hektar (8.74 ekar). Ia berfungsi sebagai repositori sejarah maritim yang mengetengahkan warisan pelayaran, perdagangan, dan hubungan maritim Brunei dengan dunia luar.
Dari aspek seni bina, reka bentuk bangunan muzium ini direka berkonsepkan sebuah kapal yang jelas kelihatan dari pandangan hadapan. Konsep tersebut dipilih bagi mencerminkan kegemilangan Brunei sebagai pusat perdagangan maritim yang masyhur pada suatu ketika dahulu. Gabungan elemen sejarah dan teknologi moden menjadikan muzium ini sebagai sebuah pusat pendidikan dan penyelidikan yang penting dalam usaha memelihara serta memartabatkan warisan maritim negara.
Objektif utama
MMBD berfungsi sebagai repositori sejarah maritim yang menghimpunkan pelbagai peninggalan artifak dan warisan pertukangan maritim daripada pelbagai era. Misi muzium ini adalah untuk memelihara sejarah maritim Brunei melalui koleksi artifak yang memperlihatkan peranan Negara Brunei Darussalam (NBD) sebagai sebuah pusat perdagangan dan penempatan utama.
Galeri tetap di MMBD
MMBD mempunyai tiga galeri tetap yang berperanan memperkenalkan dan memelihara sejarah maritim NBD, di samping mendidik pengunjung mengenai warisan negara yang kaya dalam bidang pelayaran dan perdagangan maritim.
Galeri Kapal Karam Brunei
Ianya mempamerkan penemuan kapal karam Brunei yang ditemui pada tahun 1997, merupakan penemuan arkeologi maritim yang paling signifikan kerana membuktikan peranan Brunei dalam perdagangan antarabangsa pada akhir abad Ke-15 hingga awal abad Ke-16 Masihi. Pelbagai artifak yang ditemui bersama kapal karam berkenaan turut dipamerkan, termasuk seramik, barangan kaca, dan pelbagai barangan dagangan lain yang menunjukkan hubungan perdagangan Brunei dengan China, Asia Tenggara dan Timur Tengah.
Galeri Tapak Warisan Arkeologi
Tapak warisan arkeologi ini mempunyai kaitan rapat dengan sejarah maritim Brunei. Antaranya ialah Pulau Terindak, yang dipercayai pernah berfungsi sebagai salah sebuah pelabuhan perdagangan maritim utama di Kota Batu sekitar abad Ke-15 Masihi. Selain itu, turut mempamerkan pelbagai penemuan arkeologi kehidupan maritim masyarakat Brunei pada zaman lalu, termasuk peninggalan pelabuhan lama, barangan tembikar, serta struktur berkaitan perdagangan dan pelayaran. Galeri ini bertujuan untuk memberi pemahaman yang lebih mendalam mengenai kepentingan arkeologi dalam mengkaji sejarah maritim negara.
Galeri Kegemilangan Maritim Brunei
Ianya memfokus kepada sejarah kegemilangan maritim Brunei, termasuk pencapaiannya sebagai kuasa maritim pada zaman silam. Pameran merangkumi pelbagai aspek seperti teknologi pembinaan kapal tradisional, peranan pelaut dan pedagang Brunei serta pengaruh sektor maritim terhadap perkembangan ekonomi dan budaya negara. Galeri ini juga menyoroti kepentingan perairan Brunei sebagai laluan perdagangan serantau dan antarabangsa.
Peranan, keunikan MMBD
MMBD mempunyai nilai sejarah yang amat besar kerana berperanan memelihara dan mempamerkan warisan maritim negara yang mencerminkan kedudukan NBD sebagai sebuah kerajaan maritim yang aktif dalam perdagangan dan hubungan antarabangsa sejak berabad-abad lamanya.
Muzium ini turut berfungsi sebagai pusat pendidikan dan penyelidikan yang memperkenalkan masyarakat kepada sejarah pelayaran, perdagangan laut, penemuan arkeologi serta perkembangan ekonomi maritim negara. Keunikannya terserlah melalui artifak bersejarah, replika kapal dan bahan pameran yang menggambarkan kehidupan masyarakat maritim Brunei pada masa lalu.
Di samping itu, muzium ini turut menganjurkan pelbagai pameran khas yang membantu menarik minat pengunjung, khususnya generasi muda. Melalui pendekatan yang informatif, MMBD bukan sahaja meningkatkan pengetahuan masyarakat tentang sejarah dan budaya maritim negara, malah menyemai rasa bangga, menghargai serta tanggungjawab dalam memelihara warisan demi manfaat generasi akan datang.
Usaha, inisiatif menarik lebih ramai pengunjung
Selain mengadakan pameran, MMBD turut menganjurkan pelbagai aktiviti sempena cuti persekolahan bagi memperkenalkan bidang arkeologi serta penemuan artifak hasil daripada penggalian atau pengutipan di tapak-tapak arkeologi. Aktiviti ini lazimnya diadakan di ruang lobi muzium, merangkumi program seperti mini ekskavasi, kuiz, teka-teki serta pertandingan mewarna.
Pada masa yang sama, MMBD melalui Jabatan Muzium-Muzium turut merancang untuk menambah baik galeri sedia ada dengan menerapkan penggunaan teknologi terkini bagi mewujudkan pengalaman pembelajaran yang lebih interaktif dan menarik.
Melalui penggunaan teknologi tersebut, pengunjung berpeluang meneroka sejarah secara lebih dinamik, antaranya menyaksikan gambaran kehidupan pelaut Brunei pada zaman silam serta rekonstruksi kapal dagang lama melalui paparan digital. Teknologi ini juga membolehkan pengunjung berinteraksi dengan objek sejarah secara maya tanpa menjejaskan keselamatan artifak asal.
Selain itu, pihak muzium turut merancang untuk memanfaatkan ruang lobi sebagai lokasi pameran sementara. Inisiatif ini akan membuka lebih banyak peluang untuk mempamerkan koleksi istimewa, menganjurkan pameran bertema, serta memperkenalkan penemuan baharu dalam bidang maritim dan arkeologi. Ruang tersebut juga boleh digunakan bagi pameran kerjasama dengan institusi tempatan dan antarabangsa sekali gus memperkayakan kandungan pameran serta menarik lebih ramai pengunjung daripada pelbagai lapisan masyarakat di samping memperkukuh apresiasi masyarakat terhadap warisan maritim negara melalui pendekatan yang lebih moden, kreatif dan interaktif.
Waktu lawatan
Muzium ini dibukakan kepada orang ramai pada setiap Sabtu hingga Khamis, dari pukul 9.00 pagi hingga 5.00 petang. Pada Jumaat, muzium ditutup kepada orang ramai. Kemasukan adalah percuma bagi warganegara dan penduduk tetap NBD. Bagi pelawat yang bukan residen, kadar bayaran masuk ialah BND3 bagi dewasa dan BND1 bagi kanak-kanak berumur tujuh hingga 11 tahun.
Harapan terhadap generasi muda
Harapan utama pihak muzium ialah agar kesedaran dan penghargaan terhadap warisan maritim Brunei terus dipupuk supaya nilai sejarah serta identiti maritim negara terus terpelihara dan diwariskan kepada generasi akan datang.
Melalui Jabatan Muzium-Muzium, MMBD berharap orang ramai akan terus menghargai dan menyokong peranan muzium sebagai pusat pemuliharaan, penyelidikan dan pendidikan warisan maritim. Antaranya ialah dengan mengunjungi muzium secara berkala bagi menambah pengetahuan mengenai sejarah serta warisan maritim negara, sekali gus meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan usaha pemeliharaan khazanah tersebut.
Selain itu, penyertaan aktif masyarakat dalam program-program yang dianjurkan, seperti aktiviti cuti sekolah dan pameran khas amatlah dialu-alukan bagi memastikan ilmu serta warisan maritim negara terus diwarisi oleh generasi akan datang.
Pihak muzium juga berharap agar masyarakat, khususnya para pelajar dan penyelidik, menjadikan MMBD sebagai sumber rujukan utama dalam kajian berkaitan sejarah dan arkeologi maritim negara.
Di samping itu, kerjasama erat antara pihak muzium, komuniti, institusi pendidikan, dan sektor swasta amat penting dalam memperkaya kandungan pameran serta melaksanakan lebih banyak program pendidikan yang mampu menyemarakkan lagi minat masyarakat terhadap warisan maritim negara.