MOVEMBER adalah kempen kesedaran kesihatan lelaki yang diadakan setiap tahun pada bulan November di seluruh dunia. Nama 'Movember' merupakan gabungan kata moustache (misai) dan 'November'. Tujuan utama kempen ini adalah untuk meningkatkan kesedaran mengenai isu-isu kesihatan lelaki, terutamanya kanser prostat, kanser testis, kesihatan mental lelaki dan isu-isu lain yang berkaitan dengan lelaki. Kanser prostat merupakan kanser kelima paling kerap dalam kalangan lelaki di seluruh dunia.
Ketibaan bulan November memberikan signifikasi cukup penting terhadap kesedaran kesihatan lelaki. 'Movember' merupakan gerakan yang semakin mendapat perhatian global, khususnya dalam kalangan lelaki yang prihatin terhadap kesihatan mereka.
\
Kesesuaian Movember untuk lelaki
\
Matlamat Movember adalah untuk meningkatkan kesedaran tentang kesihatan lelaki. Menggunakan misai sebagai simbol pergerakan, Movember memberi tumpuan pada tiga bidang utama, iaitu kanser prostat; kanser testikal; dan kesihatan mental juga pencegahan membunuh diri.
Di Negara Brunei Darussalam (NBD), kesihatan lelaki turut menjadi isu tetapi mungkin kurang diberi perhatian sepatutnya. Pelbagai masalah kesihatan lelaki seperti kanser prostat dan masalah mental kurang didiagnosis akibat stigma sosial.
Berikut adalah beberapa perkara penting yang awda perlu tahu mengenai Movember dan bagaimana ia memberi kesan kepada kesihatan awda :
\
Fokus pada kanser prostat
\
Kanser prostat merupakan salah satu kanser yang paling kerap berlaku di kalangan lelaki. Kesedaran mendorong lelaki untuk mendapatkan pemeriksaan awal kerana pengesanan awal sangat penting untuk peluang pemulihan yang lebih tinggi.
Berlainan dengan kanser prostat yang lebih terjadi pada golongan lelaki yang berusia lanjut, namun kanser testis kebiasaannya sering dihidapi dalam golongan lebih muda iaitu kumpulan umur 15 hingga 40 tahun. Gejala biasa ialah ketulan yang tidak menyakitkan atau bengkak, pada salah satu testikel atau sebarang perubahan dalam bentuk tekstur dan penampilan testikel.
Kanser kolorektal dan kanser paru-paru adalah penyakit lain yang turut dihidapi di negara ini, yang berkaitan secara langsung dengan faktor gaya hidup tidak sihat seperti merokok, diet tinggi lemak dan obesiti. Saringan berkesan dengan stool occult blood dan colonoscopy untuk kanser kolorektal dan saringan imbasan CT dos rendah untuk kanser paru-paru tersedia untuk individu dengan tujuan pengesanan awal.
Kebiasaan simptom bagi kanser prostat adalah kesukaran untuk mula membuang air kecil, mengosongkan pundi kencing, bocor selepas membuang air kecil, darah dalam air kencing dan kesukaran dalam mengekalkan ereksi.
Sesetengah penghidap kanser prostat tidak mengalami sebarang simptom sehingga ia berkembang. Oleh itu, langkah mendiagnosis kanser prostat lebih awal membawa kepada hasil yang lebih baik dan kelangsungan hidup. Oleh itu adalah penting untuk menjalani pemeriksaan optimum untuk kanser prostat.
Pemeriksaan disyorkan untuk lelaki berumur 50 tahun dan ke atas atau lebih awal jika terdapat sejarah kanser prostat dalam keluarga atau mereka yang mempunyai mutasi genetik seperti BRCA. Apabila disahkan menghidap kanser, Transrectal Ultrasound (TRUS) biopsi atau Magnetic Resonance Imaging (MRI) akan dijalankan untuk siasatan lanjut.
\
Kesedaran tentang kanser testis
\
Movember juga menumpukan perhatian kepada kanser testis, yang sering diabaikan tetapi berpotensi memberi kesan serius pada kesihatan lelaki. Menggalakkan pemeriksaan kendiri adalah salah satu matlamat Movember untuk membantu lelaki lebih peka dengan tanda-tanda awal penyakit ini.
The Brunei Cancer Centre (TBCC), Pantai Jerudong Specialist Centre (PJSC) merupakan pusat rujukan rawatan kanser di NBD yang komprehensif dengan kemudahan terkini untuk pengurusan holistik pesakit kanser yang terdiri daripada pemeriksaan dan pengesanan kanser awal sehingga kepada pengimejan nuklear lanjutan.
\
Pentingnya kesihatan mental
\
Selain kanser, Movember turut menekankan kesihatan mental lelaki. Dalam kehidupan yang kian mencabar, pastinya ia turut memberi kesan kepada masyarakat secara menyeluruh yang tidak terkecuali kaum lelaki.
Tidak dinafikan semakin ramai lelaki di seluruh dunia mengalami tekanan hidup seperti tekanan kerja, stres dan pengasingan sehingga boleh membawa kepada isu kesihatan mental termasuk kemurungan dan kecenderungan untuk membunuh diri.
Kebanyakan lelaki tidak membincangkan secara terbuka kesihatan mental mereka dan situasi diri serta perasaan mereka akibat stigma sosial yang mana hal ini boleh membahayakan nyawa mereka jika tidak ditangani dengan perubatan sebaiknya.
Menurut statistik, lelaki sering kali kurang cenderung untuk mencari bantuan bagi masalah mental mereka. Movember membantu membina kesedaran mengenai keperluan untuk perbualan terbuka tentang kesihatan mental. Selain itu, faktor budaya masyarakat kita yang cenderung menganggap isu kesihatan mental sebagai 'masalah yang tidak perlu dibesar-besarkan' juga menyumbang kepada rendahnya kesedaran ini dalam kalangan lelaki.
Oleh yang demikian, bersama kita meningkatkan kesedaran diri dan insan-insan tersayang dengan membuat pemeriksaan berkala dan menjaga kesihatan secara menyeluruh.
\
Kesedaran tentang sayangi diri
\\
\Movember menekankan kepentingan sokongan sosial dan kesedaran terhadap sayangi diri dalam kalangan lelaki. Dengan menyebarkan mesej ini, Movember berharap dapat membantu mereka yang sedang berhadapan dengan tekanan untuk mendapatkan bantuan.
Selain menyimpan misai, awda boleh menyertai acara sukan atau cabaran untuk mengumpul dana bagi kesihatan lelaki. Movember menggalakkan sebarang bentuk aktiviti yang boleh membantu menyokong kesihatan awda dan pada masa yang sama memberi kesedaran kepada orang ramai.
Statistik menunjukkan bahawa lelaki biasanya lebih cenderung mengabaikan tanda-tanda masalah kesihatan. Bulan kesedaran ini mengajak semua lelaki untuk lebih serius dalam menjaga kesihatan mereka, sama ada dengan pemeriksaan rutin atau perubahan gaya hidup yang lebih sihat.
\
Mengamalkan gaya hidup sihat
\
Kesedaran ini adalah waktu yang baik untuk bermula dengan gaya hidup sihat. Diet seimbang, senaman berkala, dan pemeriksaan kesihatan adalah langkah asas yang boleh diambil untuk kesihatan jangka panjang.
Movember juga mendidik lelaki mengenai cara membuat pemeriksaan sendiri untuk mengesan tanda awal kanser testis. Pemeriksaan rutin ini hanya memerlukan beberapa minit tetapi boleh menyelamatkan nyawa.
\
Bantuan, sokongan tidak terhad hanya di Movember
\
Walaupun kempen berakhir pada akhir bulan, bantuan dan sokongan kesihatan lelaki boleh dicari pada bila-bila masa. Menjaga kesihatan mental dan fizikal adalah proses berterusan, dan banyak komuniti serta organisasi sedia membantu sepanjang tahun.
Ia lebih daripada sekadar menyimpan misai; ia adalah satu pergerakan global untuk menyedarkan lelaki mengenai kesihatan mereka. Dengan langkah-langkah mudah seperti pemeriksaan awal dan perbualan terbuka mengenai kesihatan, kita boleh meningkatkan kualiti hidup dan mengurangkan risiko penyakit serius. Jadilah sebahagian daripada perubahan ini dengan menyokong kempen Movember dan sentiasa ambil berat tentang kesihatan awda.