Oleh : Brunei Darussalam Central Bank dengan kerjasama Meja Rencana, Seksyen Kandungan Khas, Bahagian Pelita Brunei
Ilustrasi : Mohammad Ike Iqrami Haji Suhaimi
SEMPENA Hari Celik Kewangan Kebangsaan (NFLD), Brunei Darussalam Central Bank (BDCB) menggalakkan orang ramai untuk memberi perhatian kepada salah satu aspek penting bagi kesejahteraan kewangan, iaitu bersedia menghadapi perkara yang tidak dijangka.
Keselamatan kewangan bukan sekadar tentang menyimpan wang. Kejadian tidak dijangka seperti kemalangan, kehilangan pendapatan, kesakitan, kematian atau kerosakan harta benda boleh memberi kesan terhadap kewangan awda.
Takaful / insurans boleh memberikan perlindungan kewangan terhadap risiko tertentu. Sekiranya berlaku kejadian tidak dijangka yang dilindungi di bawah pelan tersebut, takaful / insurans boleh membantu meringankan beban kewangan.
Kenali risiko, buat pilihan bijak
Berikut adalah beberapa perkara penting yang perlu dipertimbangkan bagi membantu awda membuat keputusan yang bijak dalam melindungi diri dan orang yang disayangi :
1. Fahami tujuan perlindungan :
Takaful / insurans boleh membantu menampung perbelanjaan perubatan yang besar, kemalangan atau kerugian lain yang dilindungi. Ia dapat mengurangkan keperluan untuk menggunakan simpanan, meminjam wang atau menjual aset ketika berlakunya kecemasan.
Ini tidak bermakna kita menjangkakan perkara buruk akan berlaku. Sebaliknya, ia merupakan langkah untuk memastikan kita bersedia dari segi kewangan sekiranya perkara tersebut berlaku.
2. Nilai keperluan perlindungan awda
Keperluan perlindungan berbeza mengikut umur, pendapatan, hutang, tanggungjawab keluarga dan peringkat kehidupan. Sebagai contoh, seorang individu bujang mungkin mempunyai keperluan yang berbeza daripada ibu bapa atau seseorang yang menanggung ahli keluarga yang lanjut usia.
Sebelum memilih pelan takaful / insurans, kenal pasti perkara yang perlu dilindungi, individu yang bergantung kepada awda dari segi kewangan dan jumlah perlindungan yang mungkin diperlukan berdasarkan keadaan awda.
3. Pilih perlindungan mengikut kemampuan
Semak pendapatan, perbelanjaan, simpanan, hutang dan komitmen kewangan yang sedia ada, termasuk sama ada awda mempunyai dana kecemasan yang mencukupi untuk menghadapi kejutan kewangan jangka pendek. Dengan mengambil kira perkara ini, pastikan sumbangan takaful atau premium insurans mampu ditanggung dalam jangka panjang.
Perlindungan yang dipilih hendaklah sesuai dengan kemampuan awda tanpa menjejaskan perbelanjaan asas atau matlamat penting yang lain.
4. Fahami sebelum membuat komitmen
Produk takaful / insurans berbeza dari segi perlindungan, manfaat, pengecualian, kos, tempoh menunggu dan syarat tuntutan. Baca terma dan syarat dengan teliti, fahami proses membuat tuntutan dan ajukan pertanyaan sekiranya terdapat perkara yang kurang jelas. Jika awda belum memahami produk tersebut sepenuhnya luangkan masa untuk mendapatkan penjelasan sebelum membuat komitmen.
Walaupun awda masih muda atau mempunyai simpanan, adalah penting untuk memastikan awda mempunyai perlindungan kewangan yang mencukupi untuk keperluan dan keadaan awda. Kejadian tidak dijangka boleh menjejaskan simpanan awda dengan cepat, manakala takaful / insurans boleh membantu mengurangkan impak kewangan daripada kerugian tertentu.
Produk dan perkhidmatan takaful / insurans yang berbeza direka untuk memenuhi keperluan yang berbeza, termasuk perlindungan perubatan, hayat, kenderaan bermotor, harta benda dan perjalanan. Ini tidak bermakna awda memerlukan setiap jenis perlindungan. Apa yang penting ialah memilih perlindungan yang sesuai dengan keperluan, keadaan dan kemampuan awda. Ketika sesuai, mempertimbangkan perlindungan yang sesuai, pastikan awda berurusan hanya dengan pengendali takaful atau syarikat insurans yang dilesenkan oleh BDCB.
Hari Celik Kewangan Kebangsaan
Hari Celik Kewangan Kebangsaan ialah acara celik kewangan tahunan yang diterajui oleh BDCB dan disokong oleh Majlis Kebangsaan Celik Kewangan (MKCK). Antara objektif acara ini adalah untuk :
1. Meningkatkan tahap celik kewangan di Negara Brunei Darussalam (NBD);
2. Menggalakkan pengurusan kewangan yang bijak; dan
3. Meningkatkan kesedaran mengenai produk dan perkhidmatan kewangan yang ditawarkan di NBD.
Bersama-sama kita membina masyarakat yang celik dan berdaya tahan dari segi kewangan.