Hargai penggerak utama bekalan makanan negara

4 Nov 2026 - 11:19am

MAKANAN merupakan keperluan asas yang tidak dapat dipisahkan daripada kehidupan manusia. Ketersediaan bekalan makanan yang mencukupi, selamat dan berkualiti bukan sahaja memenuhi keperluan asas kehidupan rakyat dan penduduk, malah menjadi salah satu tunjang kepada kestabilan ekonomi serta pembangunan negara. Dalam usaha mencapai matlamat tersebut, sumbangan para peladang, petani, penternak dan nelayan tidak dapat dinafikan kerana merekalah antara penggerak utama yang memastikan bekalan makanan tempatan terus dihasilkan dan tersedia untuk dinikmati oleh masyarakat.

Sehubungan itu, Sambutan Hari Peladang, Petani, Penternak dan Nelayan (HPPPN) yang diraikan pada 1 November setiap tahun merupakan platform penting bagi pihak kerajaan dan masyarakat umum untuk menghargai jasa, pengorbanan serta komitmen golongan penggiat sektor pertanian, penternakan dan perikanan di negara ini. Sambutan yang diadakan buat kali Ke-16 anjuran bersama oleh Jabatan Pertanian dan Agrimakanan serta Jabatan Perikanan pada tahun ini berlangsung baru-baru ini di Pasar Kitani, Pusat Agribisnes, Rimba, Gadong, dengan mengangkat tema 'Rantaian Nilai Kukuh, Sekuriti Makanan Terjamin'.

Tema tersebut mencerminkan kepentingan memperkukuh setiap peringkat dalam rantaian pengeluaran makanan, bermula daripada penghasilan bahan mentah, pemprosesan, pembungkusan, pelabelan sehinggalah kepada pemasaran dan pengedaran produk kepada pengguna. Pendekatan menyeluruh ini penting bagi memastikan produk tempatan bukan sahaja mampu memenuhi keperluan pasaran dalam negara, malah berpotensi untuk bersaing di pasaran yang lebih luas.

 

Perisian sambutan

 

Sambutan tahun ini turut menyaksikan perasmian Program Peningkatan Pelabelan dan Pembungkusan bagi produk belacan tempatan sempena HPPPN 2026, disempurnakan oleh Pemangku Pengarah Perikanan, Dayang Hajah Wanidawati binti Haji Tamat. Program ini bertujuan membantu pengusaha kecil-kecilan meningkatkan kualiti dan penampilan produk supaya lebih menarik, berkualiti dan berdaya saing. Melalui program ini, penambahbaikan diberikan dari segi pembungkusan yang lebih menarik dan bersesuaian, serta penyediaan label yang lebih lengkap, kemas dan teratur. Langkah ini bertujuan meningkatkan keyakinan pengguna terhadap produk belacan tempatan.

Selain itu, pertunjukan Maguro Kitai-Sho yang mengetengahkan demonstrasi teknik memotong ikan tuna secara terperinci antara pengisian menarik pada sambutan tersebut. Demonstrasi yang dikendalikan oleh Yamako Pacific (B) Sdn. Bhd. itu memberi peluang kepada para pengunjung untuk mengenali dengan lebih dekat kepakaran dan teknik pemprosesan ikan tuna.

Pengisian seumpama ini bukan sahaja memberikan pendedahan kepada masyarakat mengenai kemahiran dalam industri perikanan, malah menunjukkan bahawa hasil laut mempunyai potensi untuk dipelbagaikan melalui teknik pemprosesan yang betul. Dengan pengetahuan, kemahiran dan teknologi yang bersesuaian, hasil perikanan tempatan berupaya menghasilkan produk bernilai tambah yang mempunyai potensi pasaran.

 

Usaha gigih membawa manfaat

 

Di sebalik setiap hasil pertanian, penternakan dan perikanan yang sampai kepada pengguna, terdapat usaha dan kegigihan para pengusaha yang bekerja keras dalam memastikan pengeluaran makanan terus berjalan. Tugas mereka bukan sekadar menghasilkan produk untuk memenuhi keperluan harian, malah turut menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, membuka peluang pekerjaan serta mengembangkan industri tempatan.

Dalam konteks ini, pekerjaan dalam bidang pertanian, penternakan dan perikanan merupakan pekerjaan yang mulia dan mempunyai nilai yang besar dalam Islam. Agama Islam menggalakkan umatnya supaya berusaha dan bekerja dengan bersungguh-sungguh untuk mencari rezeki yang halal bagi memenuhi keperluan diri sendiri, keluarga dan masyarakat.

Sesungguhnya, setiap usaha yang dilakukan dengan niat yang baik serta mengikut tuntutan syarak boleh menjadi ibadah. Oleh itu, golongan peladang, petani, penternak dan nelayan sewajarnya berbangga dengan pekerjaan yang diceburi kerana sumbangan mereka mempunyai kepentingan yang besar terhadap kehidupan masyarakat dan pembangunan negara.

Usaha meningkatkan pengeluaran makanan tempatan juga amat penting bagi mengurangkan kebergantungan kepada bekalan import. Dengan memperkukuh sektor pertanian dan perikanan, negara berpeluang membina sistem bekalan makanan yang lebih berdaya tahan, di samping memastikan sumber makanan yang diperoleh memenuhi keperluan keselamatan, kualiti dan kehalalan.

 

Menghargai pengorbanan, memperkukuh sekuriti makanan

 

Sambutan HPPPN sememangnya bukan sekadar acara tahunan untuk meraikan golongan pengusaha, tetapi juga menjadi peringatan kepada masyarakat tentang besarnya peranan mereka dalam kehidupan seharian. Setiap hasil yang diusahakan dengan penuh kesungguhan bukan sahaja membawa manfaat kepada diri dan keluarga, malah turut menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat dan kemakmuran negara.

Semoga segala usaha dan titik peluh para peladang, petani, penternak dan nelayan akan terus mendapat penghargaan sewajarnya serta menjadi pemangkin kepada pembangunan sektor pertanian, penternakan dan perikanan yang lebih maju, produktif dan mampan demi menjamin sekuriti makanan Negara Brunei Darussalam.