Chef Anna : Harumkan nama negara di pentas kulinari antarabangsa

25 Jul 2026 - 10:50am

Oleh : Hezlinawati Haji Abdul Karim

Foto : Ihsan Rohana Mahmud

BIDANG kulinari memainkan peranan yang tidak kurang pentingnya dalam pertumbuhan ekonomi negara terutamanya dalam mewujudkan peluang-peluang pekerjaan dan memacu pertumbuhan keusahawanan dalam sektor makanan dan minuman. Bidang ini kini semakin mendapat tempat dalam kalangan penduduk di negara ini apatah lagi institusi-institusi pendidikan di negara ini menawarkan kemahiran dalam bidang berkenaan.

Salah seorang warga tempatan yang telah berjaya mencipta nama dan sekali gus mengharumkan nama Negara Brunei Darussalam (NBD) di dunia kulinari antarabangsa ialah Dayang Rohana binti Mahmud, atau lebih dikenali sebagai Chef Anna. Kejayaan yang dikecapinya hari ini bukanlah sesuatu yang datang dengan mudah, sebaliknya lahir daripada usaha gigih, semangat yang tidak pernah luntur dan minat yang mendalam terhadap dunia masakan.

Perjalanan Chef Anna bermula pada tahun 2006, memulakan kerjayanya dari peringkat bawah sebagai tukang masak dengan memberi tumpuan pada bidang pastri dan penyediaan pelbagai jenis kuih Melayu tradisional. Namun, keinginan untuk terus menimba ilmu mendorong beliau mempelajari pelbagai masakan Asia, khususnya masakan tradisional Brunei yang kaya dengan cita rasa dan warisan budaya.

 Sumber inspirasi

Menurut Chef Anna, insan yang paling banyak memberi inspirasi dan semangat kepadanya ialah Al-Marhumah ibunya yang suatu ketika dahulu merupakan seorang guru pada sekitar tahun 1970-an yang turut mengajar kelas memasak. Didikan serta dorongan daripada ibunya menjadi sumber kekuatan untuk Chef Anna terus mendalami seni kulinari sehingga berjaya mencapai pelbagai kejayaan pada hari ini.

Sertai pertandingan

Minat yang mendalam terhadap bidang masakan mendorong Chef Anna menyertai pertandingan kulinari antarabangsa sejak tahun 2019. Pengalaman bertanding bersama cef-cef dari pelbagai negara telah meningkatkan kemahiran, keyakinan dan kreativiti beliau dalam menghasilkan hidangan bertaraf dunia.

Antara pencapaian terbesar beliau ialah pada tahun 2024 apabila berjaya meraih Tempat Pertama, World Champion Trophy dan Pingat Emas menerusi kategori Rendang Ayam. Kejayaan tersebut membuktikan bahawa masakan tradisional Brunei mampu berdiri sama tinggi dengan masakan dari negara-negara lain.

Doctor of Culinary Science

Pada tahun 2026 pula, dalam Kejohanan Kulinari Antarabangsa yang berlangsung di Johor Bahru, Chef Anna sekali lagi mengharumkan nama NBD apabila dianugerahkan Doctor of Culinary Science, satu pengiktirafan berprestij yang diberikan oleh Kerajaan Negeri Johor kepada cef-cef antarabangsa dan tempatan yang menunjukkan kecemerlangan dalam bidang kulinari.

Dalam pertandingan tersebut, Chef Anna turut membawa pulang pelbagai anugerah, termasuk Outstanding Trophy Award, lapan Excellent Gold Awards, dua Gold Awards, satu Silver Award dan satu Bronze Award. Antara hidangan yang dipertandingkan ialah Kari Ikan, Ikan Asam Pedas, Rendang Ayam, Roti Jala bersama Kari Ayam, lapan jenis Biskut Raya, Kari Ayam bersama Nasi Minyak, Nasi Lemak Moden, Tom Yum Makanan Laut, Kek Lapis, Pisang Goreng dan Bubur Caca.

Walaupun berdepan saingan sengit daripada kira-kira 2,800 peserta dari pelbagai negara, Chef Anna tetap berusaha memberikan persembahan terbaik. Segala persiapan, termasuk pembelian bahan-bahan masakan, dibiayai sendiri, di samping menerima tajaan daripada beberapa syarikat dan majikan beliau. Pengorbanan tersebut membuktikan bahawa kejayaan memerlukan kesungguhan, disiplin dan semangat yang tinggi.

Harapan

Chef Anna berharap kejayaannya dapat menjadi inspirasi kepada generasi muda Brunei untuk menceburi bidang kulinari serta berani menyertai pertandingan di peringkat antarabangsa. Beliau percaya anak-anak Brunei mempunyai bakat, kreativiti dan kemampuan untuk bersaing dengan cef-cef terbaik dunia. Baginya, setiap kejayaan bukan sahaja membawa kepuasan peribadi, malah menjadi peluang untuk memperkenalkan keunikan masakan Brunei kepada masyarakat antarabangsa serta mengharumkan nama negara di persada dunia.