REVOLUSI Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence - AI) bukan lagi sekadar wacana masa hadapan, tetapi telah menjadi realiti yang mengubah landskap dunia pekerjaan masa kini. Daripada mengautomasikan tugasan rutin sehinggalah menganalisis data dalam skala besar, penggunaan AI di tempat kerja telah terbukti mampu meningkatkan kecekapan, produktiviti dan ketepatan dalam membuat keputusan.
Sejajar dengan Wawasan Brunei 2035, adalah penting bagi organisasi di negara ini untuk memahami potensi, cabaran dan impak AI agar tidak ketinggalan dalam arus transformasi digital global.
Menyokong operasi pejabat lebih cekap, sistematik
\
\Pejabat Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) sedang melaksanakan agenda transformasi digital yang menyeluruh merangkumi pembangunan pelbagai sistem dan platform bagi menyokong operasi dan perkhidmatan pejabat secara lebih cekap dan sistematik.
\Dalam tempoh tiga tahun, Pejabat KDYMM telah berjaya melaksanakan pelbagai projek transformasi digital secara berterusan yang mana suatu pencapaian yang signifikan memandangkan saiz tenaga teknikal yang terhad. Ini adalah bagi mendukung Digital Brunei Transformation Plan 2030 menuju aspirasi Wawasan Brunei 2035.
Pendekatan utama yang memacu pencapaian ini ialah penggunaan AI sebagai alat bantu pembangunan sistem yang mana menjadi pemangkin transformasi digital.
Pendekatan Smart Coding
Pejabat KDYMM telah beralih daripada kaedah pembangunan konvensional yang statik dan memakan masa kepada pendekatan Smart Coding di mana AI digunakan secara aktif dalam setiap peringkat pembangunan sistem. Peralihan ini bukan sekadar perubahan proses kerja, tetapi merupakan perubahan paradigma dalam cara Pejabat KDYMM mereka bentuk, membangun serta menguruskan sistem dan teknologi, yang mana telah meningkatkan keberkesanan proses kerja dan mengurangkan bebanan kerja manual.
Selain pembangunan sistem, AI turut memperkasakan Pejabat KDYMM untuk mengintegrasi dan memanfaatkan pelbagai teknologi secara dalaman sebagai pemudah cara antaranya termasuk Optical Character Recognition (OCR), Integrasi Peranti Pengecaman Wajah berasaskan Internet of Things (IoT), Smart Camera Module, dan AI Helpbot, di samping beberapa teknologi guna sama yang lain.
Pembangunan teknologi dalaman berkembang
Hasil pendekatan ini amat ketara di mana masa pembinaan, pengintegrasian sistem dan teknologi yang dahulunya mengambil masa beberapa bulan, kini dapat dihasilkan dalam beberapa minggu sahaja, manakala bilangan sistem yang berjaya dilancarkan turut meningkat dengan ketara. Pembangunan teknologi dalaman turut berkembang daripada beberapa teknologi asas kepada pelbagai teknologi guna sama.
Pejabat KDYMM kini menuju ke arah HMO Digital Ecosystem iaitu sebuah persekitaran digital bersepadu yang akan menghimpunkan keseluruhan sistem-sistem modular yang telah dibina ke dalam satu ekosistem yang kohesif dan strategik. Dengan sokongan AI, proses penyatuan yang lazimnya memakan masa dan sumber yang besar kini dapat dilaksanakan dalam tempoh yang lebih singkat dan fokus, sejajar dengan hala tuju transformasi digital Pejabat KDYMM.
Mengguna pakai inovasi secara holistik
Inisiatif ini mencerminkan komitmen Pejabat KDYMM dalam mengguna pakai inovasi secara holistik dan mampan. Melalui tiga peringkat utama iaitu AI Enable, di mana AI diterima pakai sebagai alat kerja harian bagi menyokong dan mempercepatkan proses pembangunan sistem.
AI Empower, di mana AI telah mengukuhkan kapasiti dan keupayaan Pejabat KDYMM dalam membangun sistem dan teknologi berkaitan dan AI Transform, sebagai hala tuju masa hadapan menuju operasi yang dipacu AI. Pejabat KDYMM beriltizam untuk terus memacu transformasi digital yang bermakna, mampan dan memberi impak yang bermanfaat ke negara dan masyarakat.
Anugerah emas
Projek Bantuan Kecerdasan Buatan (AI) Pemangkin Transformasi Digital ini diusahakan oleh kumpulan Integr8 dari Bahagian Teknologi Maklumat, Pejabat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, telah berjaya menerima anugerah emas bagi Anugerah Inovasi Perdana (AIP) sempena Hari Perkhidmatan Awam.
Projek tersebut adalah memperkenalkan pendekatan Smart Coding yang dilaksanakan oleh Pejabat KDYMM melalui bantuan AI sebagai pemacu utama produktiviti dan kualiti pembangunan digital.
Melalui idea ini ia menambah baik kecekapan kerja dan melihat AI sebagai satu peluang untuk menutup jurang keupayaan teknologi dan sumber, seterusnya menghasilkan solusi digital yang lebih cekap, kos efektif dan mampan.
Projek ini telah dipamerkan pada mini pameran sempena Hari Perkhidmatan Awam baru-baru ini. Mini pameran adalah mengenai kepimpinan dan inovasi Perkhidmatan Awam turut diadakan untuk mengetengahkan pelbagai inisiatif, inovasi dan pencapaian agensi-agensi kerajaan. Melalui pameran ini, kita dapat melihat sendiri usaha yang dilaksanakan oleh agensi kerajaan untuk meningkatkan kecekapan, mempermudahkan urusan dan memperbaiki mutu perkhidmatan orang ramai.
Sambutan Hari Perkhidmatan Awam diharap akan dapat menjadi pemangkin kepada peningkatan prestasi, pembudayaan inovasi dan penyampaian perkhidmatan yang lebih berkualiti demi kepentingan rakyat dan negara.
Sebanyak 15 mixels dipamerkan pada pameran tersebut yang mana tujuh daripadanya adalah pameran yang menyertai Anugerah Inovasi Perdana, dua mixels mempamerkan titah dan selebihnya adalah projek dari Program Pembangunan Eksekutif bagi Pegawai-pegawai Kanan Kerajaan (EDPSGO), Program Pembangunan Eksekutif bagi Pegawai-pegawai Pengurusan Pertengahan (EDPMMO) serta Program Pembangunan Eksekutif Muda (YEP).