Wave of Change pupuk kesedaran jaga kebersihan pantai

9 Nov 2026 - 6:19am

Oleh : Noraisah Haji Muhammed

Foto : Muhammad Asri Awang Haji Abas

BELAIT, Ahad, 8 November - Kebersihan merupakan sebahagian daripada tuntutan agama Islam, malah sering dikaitkan dengan sebahagian daripada iman. Kesedaran terhadap kepentingan menjaga kebersihan, khususnya alam sekitar, perlu bermula daripada diri setiap individu.

Berlandaskan kesedaran dan rasa tanggungjawab terhadap pemeliharaan alam sekitar, Wave of Change dengan kerjasama Majlis Perundingan Mukim (MPM) Pandan ‘A’ telah menganjurkan Kempen Kebersihan Pantai di Pantai Taman Jubli, Daerah Belait, hari ini.

Pelita Brunei berkesempatan menemu bual, Ketua Renewable Energy dan Green Economy, Revitalize Belait, Dayang Hayley Fazilah, yang menjelaskan bahawa inisiatif berkenaan bertujuan mewujudkan kebiasaan menjaga alam sekitar melalui tindakan yang mudah dan boleh diamalkan oleh setiap individu, tanpa semestinya melibatkan usaha yang rumit atau inisiatif berskala besar.

Menurutnya, tindakan kecil yang dilaksanakan secara bersama dan bersepadu mampu membawa perubahan yang bermakna terhadap alam sekitar.

“Pada masa yang sama, kami juga ingin menyatukan orang ramai, mewujudkan peluang untuk peniaga tempatan dan menggalakkan kerjasama yang lebih erat antara organisasi, perniagaan dan masyarakat,” ujarnya lagi.

Sementara itu, wakil Renewable Energy and Green Economy, Revitalize Belait. Dayang Noorfitriah Hafiizah binti Md. Hassan, pula berkata pihaknya percaya bahawa usaha meningkatkan kesedaran terhadap pemeliharaan alam sekitar boleh dilaksanakan seiring dengan sokongan terhadap pertumbuhan ekonomi tempatan.

Sehubungan itu, mereka berharap mesej yang dibawa melalui Waves of Change akan terus memberi kesan dan diamalkan oleh masyarakat, meskipun program berkenaan hanya berlangsung selama dua hari.

Selain melaksanakan kempen kebersihan, pelbagai aktiviti turut diadakan, antaranya Fun Beach Game, Colouring Competition, Therapeutic Painting dan Sketch Walk

Usaha sedemikian dihasrat agar orang ramai meneruskan amalan seumpama berkenaan ke dalam kehidupan seharian dan memahami bahawa setiap orang mempunyai peranan dalam mewujudkan masa depan yang lebih bersih dan lebih hijau.

Pada masa yang sama dihasratkan untuk membantu dalam mendidik dan menggalakkan kesedaran awam akan tanggungjawab terhadap alam sekitar.

Aktiviti Wave of Change telah mendapat sokongan daripada agensi-agensi swasta dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), yang mencerminkan komitmen serta kerjasama pelbagai pihak dalam mendukung usaha kerajaan ke arah melahirkan masyarakat yang lebih bersih, sihat dan bertanggungjawab terhadap alam sekitar.