Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi
Foto : Ihsan Majlis Perundingan Kampung Kasat
KASAT, Selasa, 17 November. – Dalam usaha memperkukuh silaturahim serta memperluas jaringan kerjasama dalam bidang pendidikan dan kemasyarakatan antara Negara Brunei Darussalam (NBD) dan Malaysia, Program BRIGHT 2026 dan Program Keluarga Angkat Universiti Malaysia Sabah (UMS) bersama para penduduk Kampung Kasat telah berlangsung selama enam hari.
Program yang dijadualkan berlangsung sehingga 21 November ini merupakan anjuran Majlis Perundingan Kampung (MPK) Kasat dengan kerjasama UMS dan telah dirasmikan di kediaman Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Amran bin Haji Maidin, yang juga Penghulu Mukim Lumapas.
Seramai 35 penuntut UMS yang berkunjung ke negara ini bagi mengikuti program berkenaan dengan pengisiannya antaranya aktiviti merangkumi aspek akademik, kebudayaan dan kemasyarakatan, di samping bertukar-tukar pengalaman bersama masyarakat setempat.
Sepanjang program berlangsung, para penuntut juga berpeluang mengikuti lawatan rasmi ke beberapa institusi pengajian tinggi, jabatan dan pejabat kerajaan, selain mengunjungi tempat-tempat bersejarah serta institusi muzium bagi mendapatkan gambaran lebih dekat mengenai sistem pendidikan, pentadbiran, sejarah dan perkembangan masyarakat di NBD.
Tidak ketinggalan, para penuntut turut didedahkan kepada keunikan warisan budaya tempatan menerusi pengenalan permainan tradisional, adat resam dan kebudayaan masyarakat NBD, selain menyertai pelbagai aktiviti kemasyarakatan bersama penduduk Kampung Kasat.
Antara pengisian utama program ialah pelaksanaan Program Keluarga Angkat yang menyaksikan para penuntut UMS ditempatkan bersama keluarga-keluarga angkat di kampung berkenaan.
Inisiatif tersebut memberikan pengalaman bermakna kepada para penuntut untuk merasai sendiri kehidupan bermasyarakat, mendalami budaya dan adat resam tempatan serta membina hubungan kekeluargaan dan silaturahim yang lebih erat antara masyarakat kedua-dua negara.
Penganjuran program seumpama itu bukan sahaja menjadi wadah pertukaran ilmu dan budaya, malah turut membuka ruang kepada golongan belia untuk berinteraksi, berkongsi pengalaman serta menghargai kepelbagaian budaya dan cara hidup.
Usaha berkenaan diharap akan terus memperkukuh hubungan kerjasama antara UMS dengan komuniti Kampung Kasat, sekali gus menyemai semangat perpaduan, kesukarelawanan dan tanggungjawab kemasyarakatan dalam kalangan generasi muda.
MPK Kasat turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pihak UMS, agensi-agensi kerajaan, institusi yang terlibat, keluarga-keluarga angkat serta seluruh warga Kampung Kasat atas sokongan dan kerjasama yang diberikan dalam menjayakan program berkenaan.
Program seumpama berkenaan diharapkan dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai platform memperluas kerjasama dalam bidang pendidikan, kebudayaan, kemasyarakatan dan pembangunan belia antara kedua-dua buah negara.