Siaran Akhbar dan Foto : Mantan Ahli Pasukan Askar Muda Pengambilan 1 - 28
BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 17 November. – Mantan-mantan Ahli Pasukan Askar Muda Pengambilan 1 - 28, baru-baru ini telah mengadakan Majlis Tahlil dan Doa Arwah, bertempat di Restoran I-Lotus, di sini.
Hadir pada majlis tersebut, Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam (NBD) ke Republik Islam Pakistan, Tuan Yang Terutama Kolonel (B) Pengiran Haji Kamal Bashah bin Pengiran Haji Ahmad, dari pengambilan pertama askar muda bersama mantan-mantan askar muda dari Pengambilan 1 hingga 28.
Penganjuran majlis tersebut turut menjadi wadah untuk mengimbau sejarah pengambilan askar muda yang kini menjangkau usia 47 tahun.
Majlis diteruskan dengan bacaan tahlil serta Doa Arwah khusus bagi ahli-ahli dan rakan seperjuangan, jurulatih-jurulatih serta guru-guru yang pernah mendidik ahli-ahli askar muda yang telah kembali ke rahmatullah.
Acara dimulakan dengan bacaan tahlil dan Doa Arwah bersama mantan-mantan askar muda yang hadir, diikuti dengan ucapan daripada PW1 (B) Haji Abbas bin Tanjong, iaitu pengambilan pertama askar muda selaku Pengerusi Majlis.
PW1 (B) Haji Abbas dalam ucapannya menyatakan pada tahun ini adalah tahun pencapaian ke-47 tahun askar muda ditubuhkan sejak dari 1979 hingga 2026.
Sehubungan itu, jelasnya lagi, pada 2029, Pasukan Askar Muda akan mencapai usia 50 tahun penubuhannya, sekali gus menyambut Jubli Emas.
Menurutnya, hasil perbincangan antara pengerusi dengan jawatankuasa berkenaan, tumpuan kini diberikan kepada persiapan bagi mengadakan Sambutan Jubli Emas tersebut.
Turut sama berucap ialah, Tuan Yang Terutama Kolonel (B) Pengiran Haji Kamal Bashah, yang antara lain memberi saranan dan sokongan yang padu, walau ada sebilangan daripada kita telah pun bersara, akan tetapi jangan pernah kita lupa dari mana langkah permulaan asal usul kita semasa di dalam perkhidmatan yang pernah memberikan khidmat bakti kepada Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) mahupun Kementerian Pertahanan serta selaku rakyat NBD.
Jelas Tuan Yang Terutama lagi, pihaknya akan sentiasa bersedia untuk memberikan khidmat bakti dan kerjasama, di mana jua berada, selagi khidmat serta tenaga mereka masih diperlukan.
Majlis diakhiri sesi bergambar ramai dan beramah-mesra bersama mantan-mantan askar muda baharu dan lama.