Berita dan Foto : Pg. Vivy Malessa Pg. Ibrahim
TUTONG, Khamis, 17 September. - Tutong Buzz kini kembali lagi bagi memeriahkan suasana Daerah Tutong ke arah memberi sokongan kepada para pengusaha dan peniaga tempatan di negara ini.
Acara berkenaan berlangsung selama lima hari, bermula Rabu, 16 hingga 20 September 2026 dari pukul 2.00 petang hingga 10.00 malam. Tutong Buzz kali ini diadakan di kawasan letak kereta Tatangan, Persiaran Sungai Tutong, di sini.
Tutong Buzz menawarkan pelbagai tarikan dan jualan daripada pengusaha tempatan. Acara berkenaan disertai seramai 38 pengusaha, terdiri daripada 34 pengusaha di bawah SME dan empat pengusaha di bawah Satu Kampung Satu Produk (1K1P).
Orang ramai dialu-alukan datang ke Tutong Buzz untuk memeriahkan lagi acara berkenaan, di samping menyokong produk dan perniagaan tempatan.
Tutong Buzz dianjurkan bersama oleh Jabatan Daerah Tutong, Jabatan Bandaran Tutong, Majlis Perundingan Kampung Sengkarai dan Badan Kemajuan dan Kreatif Daerah Tutong.