Siaran Akhbar dan Foto : Sekolah Menengah Raja Isteri Pengiran Anak Saleha
TUTONG, Khamis, 17 September. - Menjelang detik penting menghadapi peperiksaan, Sekolah Menengah Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, Tutong mengadakan Majlis Izin dan Restu Ilmu Penuntut Tahun 11 sebagai wadah memohon restu, kemaafan dan doa daripada guru-guru serta ibu bapa atau penjaga.
Majlis yang berlangsung di Dewan Sekolah berkenaan dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat, diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Pengetua Sekolah, Dayang Hajah Adimah binti Haji Mohd. Said.
Bagi menyuntik semangat dan mempersiapkan para penuntut dari segi mental dan motivasi, majlis diteruskan dengan ceramah motivasi yang disampaikan oleh Kaunselor Syarikat Penerbangan Diraja Brunei, Awang Diny bin Haji Karim.
Majlis kemudiannya diselajurkan dengan penyerahan ‘Warkah Yang Tersayang’, diikuti ucapan daripada wakil pelajar, Awang Ukail Uzma bin Iskandar Zulkarnain dari Tahun 11SC1; wakil ibu bapa atau penjaga, Awang Muhammad Sofian bin Muhd. Jais, bapa kepada Muhammad Afif Syazani bin Muhammad Sofian dari Tahun 11SC2; serta wakil guru, Dayang Huzairini binti Haji Tengah.
Sebagai acara kemuncak, para penuntut, guru-guru serta ibu bapa atau penjaga mengambil kesempatan untuk bersalaman sebagai tanda memohon izin, restu, kemaafan dan doa, sebelum menghadapi peperiksaan.
Majlis tersebut bukan sahaja menjadi ruang untuk menyemai keyakinan dan motivasi dalam diri para penuntut, malah mencerminkan sokongan padu warga sekolah dan keluarga dalam mengiringi mereka menghadapi cabaran peperiksaan.
Semoga para penuntut Tahun 11 dipermudahkan dalam segala urusan, diberikan ketenangan dan kekuatan, serta dikurniakan kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan yang bakal ditempuhi.