Oleh : Pg. Vivy Malessa Pg. IbrahimFoto : Hernie Suliana Haji Othman
BELAIT, Jumaat, 6 November. - Pesta Pantai Lumut yang diadakan selama tiga hari bermula hari ini diisikan dengan acara keagamaan iaitu Tazkirah dan Selawat Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam berlangsung di Pentas Peranginan Pantai Lumut, di sini.
Hadir selaku tetamu kehormat pada acara tersebut ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Haji Md. Salleh bin Haji Othman, Penghulu Mukim Bukit Sawat.
Juga hadir, Ahli MMN, Yang Berhormat Awang Mohammad bin Abdullah@Lim Swee Ann, Ketua Kampung Bukit Sawat; Ahli-ahli Majlis Perundingan Kampung (MPK) Lumut dan orang awam.
Terdahulu, persembahan qasidah dialunkan oleh pegawai dan kakitangan Jabatan Penjara.
Dalam inti pati tazkirah yang disampaikan oleh Penolong Kaunselor, Jabatan Penjara, Awang Fariszal bin Ali antara lain menjelaskan, sebagai manusia, kita harus berusaha untuk mencari visi dan misi kehidupan kita di dunia dan untuk bekalan kita di akhirat kelak. Kehidupan kita ini katanya, mempunyai matlamat dan kehidupan kita perlu diisi dengan beramal soleh.
Pesta tersebut merupakan anjuran MPK Lumut 2 dengan kerjasama MPK Lumut 1, Lumut 3, Sungai Liang, Rancangan Perumahan Negara Lumut Kawasan 1, 2 dan 3.