Taklimat Kenegaraan pupuk semangat patriotisme pelajar

8 Nov 2026 - 5:23am

Oleh : Noraisah Haji Mohammed

Foto : Azmah Haji Ahad

BELAIT, Sabtu, 7 November. – Seramai 74 orang penuntut Tahun 7, Sekolah Menengah Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa’adatul Bolkiah, Lumut, Kuala Belait telah menghadiri Program Taklimat Kenegaraan ‘Raja Kita, Menghayati Bendera Negara dan Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam’ hari ini.

Program tersebut merupakan salah satu usaha berterusan Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri (JPM) dalam menyemai cinta khususnya dalam kalangan pelajar terhadap raja, agama, bangsa dan juga negara.

Turut hadir bagi sama-sama mendengarkan taklimat tersebut ialah Timbalan Pengetua Pentadbiran, Awang Hamdani bin Haji Abu Bakar dan para tenaga pengajar di sekolah berkenaan.

Taklimat Kenegaraan tersebut disampaikan oleh Pemangku Ketua Cawangan Penerangan Daerah Belait, Awang Mohammad Nurakram bin Haji Noraini@Bahrin.

Antara isi taklimat yang disampaikan menyentuh mengenai raja, tatacara menaik-kibarkan bendera negara iaitu hendaklah memastikan bendera negara dalam keadaan sempurna dan bersih, tidak koyak dan pudar warnanya.

Selain itu, taklimat juga menyampaikan mengenai sejarah Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ‘Allah Peliharakan Sultan’. Penuntut-penuntut juga berpeluang menyaksikan klip video animasi ‘Tatacara Menaikkan Bendera Negara’.

Di samping menambah pengetahuan am, penuntut-penuntut juga berpeluang menyertai Sesi Kuiz bersempena program taklimat tersebut.

Program seumpama ini dihasratkan akan dapat memperkukuhkan dan meningkatkan lagi semangat solidariti, patriotik dan kenegaraan yang tinggi dalam diri penuntut.

Taklimat diakhiri dengan Kuiz Kenegaraan yang disertai seramai 10 penuntut terdiri daripada lima orang penuntut lelaki dan lima orang penuntut perempuan di mana kesemua penuntut telah berjaya menjawab Kuiz Kenegaraan yang dikendalikan oleh Jabatan Penerangan dan seterusnya bergambar ramai.