Reunion Intake 91 eratkan silaturahim, kenang rakan seperjuangan

9 Nov 2026 - 6:23am

Siaran Akhbar dan Foto : Reunion Intake 91

BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 8 November. – Reunion Intake 91 baru-baru ini telah mengadakan Perjumpaan Rakan Seperjuangan Intake 91 bagi mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan bekas rakan seperjuangan, di samping mengadakan bacaan tahlil dan Doa Kesyukuran.

Majlis berkenaan berlangsung di kediaman Awang Erewan bin Haji Sinin, No. 75, Simpang 186, Jalan Tanjong Selasih, Mengkubau, Mukim Mentiri.

Bacaan tahlil dan Doa kesyukuran dipimpin oleh Imam Masjid An-Na'im, Kampung Panchor Mengkubau, Awang Suhif @ Syu'aib bin Haji Abdullah.

Perjumpaan berkenaan bukan sahaja menjadi wadah untuk menemukan kembali rakan-rakan seperjuangan, malah turut mengukuhkan ikatan persaudaraan dan silaturahim yang telah terjalin sejak bersama-sama mengharungi pelbagai pengalaman, suka dan duka sepanjang tempoh latihan serta perjuangan.

Dalam suasana penuh kemesraan dan kegembiraan itu, para peserta turut tidak melupakan rakan-rakan seperjuangan yang telah terlebih dahulu kembali ke rahmatullah dengan mengirimkan doa agar roh mereka sentiasa dicucuri rahmat Allah Subhanahu Wata'ala.

Jasa, pengorbanan serta kenangan bersama rakan-rakan seperjuangan yang telah meninggal dunia akan terus terpahat dalam ingatan dan sanubari sahabat-sahabat Intake 91.

Semoga roh mereka dicucuri rahmat, diampunkan segala dosa dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman serta beramal soleh.